KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bermesyuarat buat pertama kalinya hari ini tertumpu kepada tiga kertas perbincangan antara lain berkaitan pendekatan menyeluruh isu kos sara hidup ke arah meningkatkan taraf hidup isi rumah B40.
Tiga kertas perbincangan itu dikemukakan oleh wakil-wakil Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya itu turut membincangkan keusahawanan sosial sebagai platform meningkatkan taraf hidup isi rumah B40 dan pelaksanaan keputusan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
“Mesyuarat hari ini telah mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada Ahli-ahli Majlis untuk menangani isu kos sara hidup, meningkatkan produktiviti dan kuasa beli rakyat serta menambahbaik taraf hidup isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40).
“Kerajaan akan meneliti semua cadangan yang telah diutarakan oleh semua Ahli Majlis dan cadangan yang dipersetujui akan dilaksanakan segera,” demikian menurut kenyataan Urus Setia EAC.
Menurut EAC, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan terus peka terhadap kesulitan hidup golongan B40 dan mengambil langkah segera untuk merancakkan serta merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Penubuhan EAC diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 11 Februari lalu bertujuan meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.
Dipengerusikan Perdana Menteri, majlis itu dianggotai 16 anggota termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya Baru Bian; Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Anggota majlis lain ialah Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Prof Dr Jomo Kwame Sundaram; Pengarah Urusan Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Dr Hasnita Hashim; Pengerusi Bursa Malaysia Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen; Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr Paul Selvaraj; Peguam Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Nizam Mahshar. -MalaysiaGazette