Home Utama Pencemaran toksik dibimbangi merebak ke Singapura

Pencemaran toksik dibimbangi merebak ke Singapura

Pemandangan dari udara aliran Sungai Johor yang turut tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa bahan toksik di Muara Sungai Kim Kim, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Isu pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang sudah masuk hari ke-13 terus membuntukan penduduk di kawasan yang terjejas.

Malah, banyak tanda tanya dalam kalangan penduduk di beberapa buah kampung tentang nasib meraka setelah berdepan dengan keadaan itu.

Meskipun pengumuman sudah dibuat oleh pihak kerajaan bahawa kerja-kerja pembersihan melibatkan kawasan sepanjang 1.5 kilometer di sungai itu yang dilapor telah dibersihkan, namun kesannya di kawasan-kawasan lain dilihat masih ada.

Buktinya, wartawan MalaysiaGazette yang dibawa oleh penduduk kampung menyusuri sungai yang tercemar dengan menaiki bot mendapati, air Sungai Kim Kim yang keruh serta berbau busuk menunjukkan masih banyak lagi sisa-sisa toksik di sungai berkenaan yang perlu dibersihkan.

MGF17032019_TINJAUAN MUARA SUNGAI KIM KIM01

Berdasarkan pemerhatian, tidak mungkin kesan pencemaran sisa toksik itu dapat dibersihkan dalam tempoh yang singkat kerana kotoran dan sisa toksik yang dibuang telah mendap di dasar sungai.

Pengalaman penulis menyertai penduduk Kampung Pasir Putih ke Sungai Kim Kim baru-baru ini dapat menyaksikan masih ada lagi yang bergantung dengan sungai itu untuk mencari rezeki meskipun mengetahui risiko yang mungkin ditanggung.

Penulis terkejut apabila melihat pendayung yang digunakan oleh seorang remaja anak Orang Asli berkilat diselaputi dengan kesan buangan dipercayai sisa toksik.

MGF17032019_TINJAUAN MUARA SUNGAI KIM KIM08

Remaja berusia 16 tahun yang ketika itu sedang mencari kerang ditemani adik lelaki dan kedua ibu bapanya di muara Sungai Kim Kim mengakui menyedari perubahan pada sungai berkenaan lebih-lebih lagi hasil carian kerang untuk dijual tidak seperti dahulu.

Bagaimanapun, remaja itu dengan hati yang ikhlas menyatakan sungai yang diredahnya itu sememangnya menjadi tempat untuk mereka sekeluarga mendapatkan mata pencarian setiap hari.

Menguatkan lagi dakwaan penulis tentang pencemaran yang dipercayai telah merebak hingga ke Selat Tebrau ialah apabila visual yang dirakam dari udara menampakkan imej air hitam yang berbau busuk sudah mengalir keluar.

MGF17032019_TINJAUAN MUARA SUNGAI KIM KIM17

Jika pencemaran itu tidak segera ditangani ia dibimbangi akan merebak ke perairan Singapura dan perkara itu sudah pastinya boleh medatangkan masalah lain apabila melibatkan negara jiran.

MalaysiaGazette turut difahamkan bahawa kesan pencemaran yang berlaku di sungai tersebut bukannya baharu, sebaliknya telah bermula sejak empat tahun lalu.

Air sungai berkenaan yang dahulunya berwarna hijau dan sering menjadi tumpuan kaki pancing kini telah berubah wajah apabila airnya bertukar warna hitam seperti minyak kenderaan yang sudah digunakan dan ditambah pula dengan bau yang sangat meloyakan.

Seorang penduduk Kampung Pasir Putih, Zulkarnain Hashim mendakwa, banyak aduan telah dibuat olehnya mengenai kejadian itu namun, perkara tersebut seolah-olah dipandang sepi oleh pihak berkuasa.

MGF17032019_TINJAUAN MUARA SUNGAI KIM KIM20 (1)

Bagaimanapun, insiden yang berlaku sejak 7 Mac lalu apabila ribuan nyawa penduduk Pasir Gudang mula terancam dengan pencemaran tersebut akhirnya telah membuka mata pihak berkuasa betapa seriusnya aduan yang pernah dibuat sebelum ini.

Memang menjadi lumrah di negara ini bila ‘sudah terhantuk baru terngadah’.

Insiden itu bukannya biasa-biasa kerana bagi mereka yang menanggung kesannya ada yang sampai terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.

Apapun penulis berharap agar ada tindakan diambil kepada pelaku yang menyebabkan pencemaran itu berlaku.

MGF17032019_TINJAUAN MUARA SUNGAI KIM KIM03

Tidak adil rasanya, jika pelaku terbabit dibiarkan terlepas kerana bukan sahaja kemusnahan alam telah dilakukan, bahkan ribuan nyawa yang tidak berdosa terpaksa menanggung musibah akibat kedangkalan akal mereka itu. – MalaysiaGazette