SHAH ALAM – Dua kumpulan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang digerakkan ke Kuil Sri Maha Mariamman Seafield terikat dengan Standard Operation Procedure (SOP) yang memerlukan arahan daripada ketua polis daerah untuk bertindak.
Namun kata saksi ke-21 inkues Allahyarham Muhammad Adib Kassim, Asisten Supritendan (ASP) Shuhaimi Yaakub selaku Pegawai Penjaga Troops 1A – salah sebuah kumpulan yang bertugas pada 26 dan 27 November 2018 memberitahu, arahan yang diterima oleh Timbalan Ketua Polis Subang Jaya adalah bersiap sedia dari awal sehinggalah rusuhan tamat pada awal pagi.
Melihat keadaan orang dengan jarak 100 meter dari kuil, Shuhaimi menyifatkan perusuh di kawasan kuil itu tidak terkawal.
Beliau kemudiannya merujuk kepada Pegawai Medan, ASP Nasir Derahman.
Selepas itu, pihaknya dua kali menghubungi Timbalan Ketua Polis Subang Jaya untuk memaklumkan perkembangan semasa namun arahan diberikan adalah kekal bersiap sedia dengan kelengkapan sahaja.
Rujukan itu, jelasnya lagi, dibuat selepas Ketua Polis Subang Jaya pada waktu itu Mohammad Azlynn gagal dihubungi.
“Ia (FRU terikat dengan arahan ini dan membuat tidak mengambil tindakan kepada orang ramai masa itu). Dalam Public Order Manual Chapter 25 berkenaan dengan penubuhan dan penugasan FRU dan para 19 juga terdapat penerangan tentang bagaimana penggunaan FRU sebagai pasukan bantuan dan bagaimana bertindak dengan mengambil arahan yang telah ditetapkan.
“Saya telah berhubung dengan bilik gerakan IPD Subang Jaya untuk mendapatkan nombor telefon pegawai medan pada masa tersebut iaitu ASP Nasir Derahman dan selepas itu saya telah menghubungi ASP Nasir tetapi beliau tidak memberi apa-apa arahan.
“Saya telah berjumpanya, serta ASP Firdaus sebagai pegawai penjaga kumpulan 4B dan kami telah berbincang mengenai situasi semasa dan Supritendan Jefri telah cuba berhubung dengan Ketua Polis Daerah Subang Jaya tetapi tidak dapat kemudian berhubung dengan Timbalan Ketua Polis Subang Jaya memaklumkan keadaan semasa dan arahan yang kami terima adalah siap sedia.
“Betul (saya tidak bertindak sebab tidak ada arahan),” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini.
Shuhaimi selain itu memberitahu, kumpulan yang diselianya pada malam kejadian terdiri daripada dua pegawai dan 60 anggota manakala kumpulan kedua iaitu 4B mempunyai tiga pegawai, seramai 53 anggota yang mana kekuatan yang digerakkan tidak cukup untuk mengawal 1,000 orang.
Sebelum itu, beliau berkata, menerusi penilaiannya seramai lebih kurang 5,000 yang membanjiri kawasan kuil manakala 50 hingga 60 orang yang kelihatan menyerang jentera FRT dan van EMRS bomba yang dinaiki Allahyarham Muhammad Adib.
Tambahnya lagi, tugasan malam kejadian adalah gerakan mengejut tanpa taklimat awal daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya.
Mereka juga tersekat di jejantas kerana kesesakan lalu lintas yang teruk juga mengakibatkan dua kumpulan FRU pada malam itu tidak dapat bergerak ke mana-mana.
“Kumpulan saya telah berhenti di atas flyover susur keluar menghala ke kuil dan kami ‘tersangkut’ dalam kesesakan tidak dapat menghampiri kuil.
“Kumpulan saya lebih kurang 100 meter dari kuil, kumpulan 4B sampai pada masa yang sama dan berada di jalan paling bawah menghala ke kuil berada di hadapan saya lebih kurang 50 meter,” tambahnya.
Melihat sekumpulan orang bergerak ke arah kenderaan bomba namun menurut Shuhaimi, kegelapan malam dan keadaan yang sesak mengakibatkannya gagal mengenalpasti apa yang dilakukan perusuh sebaliknya hanya terdengar bunyi sorakan dan seperti batu dilontarkan.
Dalam pada itu peguam mewakili keluarga Allayarham Muhammad Adib, Yahya Othman melahirkan rasa terkilan kerana FRU dianggapnya tidak bertindak meleraikan rusuhan yang berlaku.
“Saya terkilan kalau FRU bertindak mungkin perkara ini tidak berlaku,” katanya menutup pertanyaannya di hadapan Hakim Rofiah Muhamad.
Turut hadir saksi ke-22 inkues, Hardeep Singh A/L Jaswant Singh untuk mengesahkan dan mengecam video insiden rusuhan kuil yang dirakamnya.
Saksi dikatakan berada di kawasan terdekat kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman berdekatan. – MalaysiaGazette