KAJANG – Program pemulihan di luar tembok penjara bersama komuniti seperti sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib dan Program Reintegrasi Penghuni akan terus diberi penekanan serius dan diperluaskan sebagai program alternatif.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia langkah paling berkesan yang secara tidak langsung akan membantu pihak berkuasa mengatasi masalah kesesakan di dalam penjara.
Katanya dengan jumlah kira kira 39,000 banduan telah menerima manfaat menerusi program pemulihan di luar tembok penjara itu dengan kadar residivis dibawah 0.5 peratus wajar diperluaskan lagi.
“Saya difahamkan program ini melibatkan kerjasama pihak swasta menerusi Corporate Smart Internship (CSI) bagi Orang Di Parol (ODP) memberi impak besar terhadap pemulihan ODP.
“Ketika ini terdapat 44 buah syarikat swasta di 12 buah negeri melibatkan 2,005 mengikuti program CSI ini sejak pelaksanaannya pada tahun 2016.
“Selain itu program Reintegrasi Penghuni Industri yang dilaksanakan sebuah syarikat swasta di Sungai Petani Kedah melibatkan 35 orang Diselia menunjukkan kejayaan baik,” katanya semasa berucap di Hari Penjara Ke299 di Penjara Kajang di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohamad Azis Jamman dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Ahli Parlimen Pagoh itu yakin bahawa sekiranya ramai lagi pihak yang sanggup tampil ke hadapan secara sukarela mengambil banduan sebagai anak angkat mereka dan melatih di bawah program pemulihan penjara maka ia boleh membantu kerajaan mengatasi masalah kesesakan dalam penjara.
“Ini melibatkan soal banduan anak muda tetapi dijatuhkan hukuman kerana didapati bersalah.. kalau tak diberikan peluang maka tidak ada peluang kedua untuk mereka kembali ke pangkal jalan.
“Ternyata ia akan merugikan masyarakat dan sebab itu ini mungkin boleh dilatih dalam bentuk tertentu dan kembali ke masyarakat semula tetapi kalau dia pengedar tegar dan besar itu tidak boleh dipertimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette