KUALA LUMPUR – Sekolah-sekolah diseluruh negara perlu menyediakan sebuah bilik khas buat guru-guru menjadikannya sebagai tempat untuk berehat.
Ini kerana, bilik guru yang digunakan pada masa sekarang berfungsi sebagai runag kerja dan bukan bilik rehat, kata Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan juga telah mengeluarkan satu surat pekeliling pada 19 Disember tahun lalu agar setiap sekolah menyediakan kemudahan tersebut untuk kegunaan guru agar mereka dapat berehat terutama pada selang waktu mengajar atau selepas waktu mengajar.
“Dalam lawatan ke sekolah-sekolah, saya dapati perlu kawasan rehat guru yang kondusif selain daripada bilik guru.
“Bilik guru selalunya ruang kerja jadi mereka perlu satu ruang untuk mereka berehat dan ini saya lihat ia satu keperluan buat guru selepas mereka penat mengajar.
“Ada sekolah yang telah menyediakannya tetapi banyak sekolah yang belum ada lagi. Ini penting kerana dari segi psikologinya, guru juga adalah manusia biasa yang perlu ruang untuk berehat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Dalam pada itu, Maszlee yang juga ahli Parlimen (PH-Simpang Renggam) mengalu-alukan penglibatan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni bagi membantu pihak sekolah menjayakan perkara berkenaan.
“Paling asas kemudahan yang ada dalam kawasan rehat guru itu adalah antaranya kerusi untuk berehat dan juga ruang untuk membuat minuman, malah ada sekolah juga meletakkan televisyen,” ujarnya.
Tambah beliau, ada sekolah yang telah melaksanakan perkara tersebut seperti di Sarawak apabila dibina ruang rehat di bahagian anjung dengan suasana yang aman dengan penduduk kampung membantu menyediakan minuman air kelapa. – MalaysiaGazette