WELLINTON – Polis New Zealand sedang bekerjasama dengan agensi perisikan global untuk membina profail suspek yang membunuh 50 orang di masjid di Christchurch minggu lepas.
“Saya dapat memberi jaminan bahawa ia adalah kes penyiasatan antarabangsa,” kata Ketua Polis New Zealand, Mike Bush pada taklimat media.
Ia susulan kenyataan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang berkata, suspek yang terlibat dalam serangan itu telah mengembara ke seluruh dunia dan dia bukan penduduk jangka panjang.
Bush berkata, siasatan itu melibatkan polis New Zealand, komuniti perisikan tempatan dan rakan kongsi di seluruh dunia, termasuk pegawai dari Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang berada di negara ini dan pegawai polis dan risikan dari Australia.
“Kami juga bekerja rapat dengan rakan-rakan Five Eyes lain dari segi kerjasama profil, perjalanan dan lain-lain, untuk membina gambaran yang komprehensif tentang suspek ini,” kata Bush.
Brenton Tarrant, 28, seorang rakyat Australia, disyaki seorang supremacist (fanatik kaum) yang tinggal di Dunedin, di Pulau Selatan New Zealand, telah dituduh membunuh.
Dia ditahan reman tanpa rayuan dan akan dijatuhkan hukuman di mahkamah pada 5 April ini.
Polis memberitahu, Tarrant bakal menghadapi lebih banyak tuduhan. – MalaysiaGazette