Home Sukan Terbuka Malaysia: Chong Wei tarik diri

Terbuka Malaysia: Chong Wei tarik diri

Reaksi pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei ketika bercakap pada sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Peminat badminton Malaysia terpaksa menunggu lagi untuk menyaksikan kemunculan semula Datuk Lee Chong Wei selepas jaguh badminton negara itu membuat keputusan menarik diri daripada Kejohanan Terbuka Malaysia 2019, yang dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 7 April ini di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, pemain berusia 36 tahun itu sedang dalam proses pemulihan yang berjalan dengan baik tetapi beliau dinasihatkan oleh doktor supaya menarik diri daripada pertandingan Tahap 3 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi memastikan anggota tubuhnya tidak menghadapi tekanan yang tidak sewajarnya.

“Keutamaan BAM kekal tertumpu kepada kesihatan Chong Wei dan akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemain berusia 36 tahun itu. Kami juga menggesa setiap orang supaya memberikan ruang dan masa yang diperlukan untuk pemulihannya,” kata badan badminton kebangsaan itu dalam satu kenyataan.

Berikutan Chong Wei menarik diri, skuad badminton negara sudah pasti mengharapkan pemain muda seperti Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven untuk menyinar buat negara dalam kejohanan yang menawarkan hadiah US$700,000 (RM2.853 juta).

Untuk rekod, Chong Wei berehat daripada badminton selama lapan bulan selepas mendapatkan rawatan untuk kanser hidung di Taiwan.

Chong Mei menjuarai Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011,2012, 2013, 2014, 2016 dan 2018. – MalaysiaGazette