KAJANG – Polis akan memperketatkan kawalan di lokasi-lokasi panas dan merah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, bagaimanapun situasi semasa di negara ini masih terkawal dan pihak polis sentiasa memantau puak puak pelampau dan ekstrimis serta pengganas dalam masyarakat.
Namun katanya, setakat ini belum wujud keperluan untuk menempatkan pengawal keselamatan di setiap rumah ibadat di negara ini susulan serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch New Zealand Jumaat lalu.
“Alhamdulillah keadaan sedia ada terkawal pihak polis dan keselamatan sentiasa memantau kumpulan ekstrimis, pengganas dalam masyarakat setempat di negara ini.
“IGP (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) pun sudah mengumumkan langkah langkah kawalan sudah dibuat dan akan diteruskan melibatkan kumpulan ekstrimis agama supaya insiden New Zealand itu tak berlaku di Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditanya selepas majlis sambutan Hari Penjara Ke-229 di Penjara Kajang hari ini.