Home Ekonomi ASNB tawar 50% yuran Hibah, Pengisytiharan Amanah

ASNB tawar 50% yuran Hibah, Pengisytiharan Amanah

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menawarkan potongan harga 50 peratus untuk yuran pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah bagi tempoh antara 15 Mac hingga 15 Mei 2019.

Dengan tawaran potongan harga ini, pemegang unit ASNB hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM90 untuk satu kontrak Hibah Amanah (pemegang unit Islam) atau Pengisytiharan Amanah (pemegang unit bukan Islam) yang meliputi semua unit amanah ASNB, berbanding harga biasa RM180.

ASNB berkata, Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah membolehkan pemegang unit menamakan sehingga 10 penerima untuk mewarisi pelaburan unit amanah ASNB mereka.

Berbeza dengan konsep penama yang mana penama hanyalah wasi atau pentadbir, Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah menjadikan penerima sebagai penerima mutlak untuk wang yang ditinggalkan pemegang unit.

MGF08062017_PC ASNB_03(1)

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, ASNB berharap pemegang unit akan mengambil langkah segera untuk menetapkan penerima bagi pelaburan mereka dalam unit amanah ASNB supaya
proses tuntutan oleh waris dapat dipermudahkan.

“Tanpa Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, unit amanah ASNB akan menjadi harta pusaka dan perlu diurus mengikut saluran ditetapkan termasuk keperluan mendapatkan surat kuasa, yang biasanya agak mengambil masa.

“Dengan Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah, proses tuntutan ini dipermudah yang mana ia mengambil masa kira-kira 21 hari dari tarikh tuntutan dikemukakan dan tuntutan boleh dibuat di mana-mana Cawangan ASNB,”
katanya.

Istimewanya mengenai Hibah Amanah ini ialah penerima tidak terhad kepada waris sahaja dan pemegang unit boleh menamakan mana-mana individu yang dirasakan layak sebagai penerima, termasuk anak angkat.

Tambah Mohammad lagi, produk Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah merupakan komitmen ASNB untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pemegang unit, dari awal mereka melabur sehinggalah mereka meninggal dunia
dan seterusnya kepada waris mereka.

“Berdasarkan pengalaman ASNB, ada waris yang memerlukan wang tunai dengan segera untuk meneruskan kehidupan selepas pemegang unit tiada. Kesukaran menuntut wang yang ditinggalkan menjejaskan kualiti hidup mereka.”

“Oleh kerana unit amanah ASNB merupakan pelaburan tunai, kami yakin proses tuntutan yang mudah dapat membantu waris meneruskan kehidupan tanpa banyak masalah sementara menunggu harta lain dibahagikan,” katanya.

Secara umumnya, proses tuntutan unit amanah ASNB adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran kerana undang-undang Malaysia mengkategorikan unit amanah sebagai harta persendirian.

Tanpa Hibah Amanah, proses tuntutan oleh waris pemegang unit Islam adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran dan ketetapan mendapatkan probet tetap berkuatkuasa walaupun pemegang unit ada meninggalkan wasiat. – MalaysiaGazette