Home Nasional JSJK, SKMM perkukuh kerjasama perangi jenayah siber

JSJK, SKMM perkukuh kerjasama perangi jenayah siber

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkukuhkan kerjasama bagi membendung dan memerangi jenayah siber dengan menubuhkan Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM-SKMM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mazlan Mansor berkata jawatankuasa itu menjadi platform rasmi dalam mengerakkan usaha bersepadu memerangi ancaman jenayah siber seperti sindiket Macau Scam yang merekodkan nilai penipuan ‘ratusan juta ringgit’.

Katanya jawatankuasa itu akan merangka gerak kerja dan tindakan memerangi ancaman jenayah siber seperti penyamaran; cetak rompak digital; judi dalam talian; hasutan; ugutan; berita palsu termasuk status di laman sosial berkaitan kaum dan agama yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Jika tidak ditangani dengan efisien, kadar kerugian mangsa penipuan siber mungkin akan terus meningkat, ditambah lagi sikap masyarakat yang mudah dijadikan mangsa dan hanya membuat laporan polis setelah ditipu,” katanya dalam sidang media bersama Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak selepas bermesyuarat hampir dua jam di SKMM di sini hari ini.

Menurut Mazlan, kerugian mangsa akibat jenayah siber pada 2017 adalah RM266 juta dan meningkat kepada RM398 juta pada tahun lepas, dan kerugian yang direkodkan bagi tiga bulan pertama tahun ini pula menjangkau RM64 juta.

Mengenai isu berkaitan kaum dan agama yang semakin menjadi-jadi di media sosial, Mazlan berkata tindakan yang mungkin hanya untuk ‘mengusik’ itu boleh membawa padah kepada individu terbabit kerana perbuatan memuat naik status yang mengganggu sensitiviti dipantau 24 jam sehari.

Melalui kerjasama dengan SKMM, katanya ia dapat memantapkan usaha PDRM memburu dan menahan individu yang memuat naik status sedemikian yang sebelum ini mungkin sukar ditangkap jika mereka memadam atau menggunakan profil berlainan ketika melakukan jenayah itu.

“Jangan hendak cuba-cuba sebab kita ada undang-undang yang boleh digunakan bagi mengambil tindakan dan tangkapan akan dilakukan dengan lebih pantas dengan penubuhan jawatankuasa ini,” katanya.

Sementara itu Al-Ishsal berkata, SKMM akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam usaha membanteras jenayah siber bagi melindungi pengguna internet dalam negara termasuk dalam isu berkaitan ketenteraman awam di media sosial.

Mengenai sama ada SKMM menyekat penularan video insiden tembakan yang berlaku di dua masjid di Christchurch, New Zealand di internet dan media sosial, beliau berkata perkara itu dilakukan sendiri oleh pengendali-pengendali platform media sosial.

Al-Ishsal berkata SKMM juga tidak bercadang menyekat permainan ‘games’ peperangan dalam talian selagi kandungan permainan itu mematuhi peraturan atau undang-undang yang ditetapkan.

Isu permainan dalam talian termasuk PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) menjadi perhatian selepas segelintir pihak mendakwa permainan berunsur penembakan secara dalam talian itu mirip insiden serangan bersenjata di Christchurch, sehingga mengorbankan 50 nyawa.- BERNAMA