KUALA LUMPUR – Pemilik cap dagangan tempatan kini boleh mendaftarkan nama domain mereka dengan harga lebih murah melalui MyMark yang dihasilkan antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan MYNIC Berhad.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Ismail berkata, MyMark bukan sahaja menawarkan perlindungan ke atas cap dagangan dalam talian bahkan membantu melindunginya daripada disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Pemeterian Perjanjian Persefahaman (MoU) tersebut merupakan langkah positif yang diambil oleh kedua-dua agensi dalam menyediakan perlindungan penjenamaan digital kepada pemilik cap dagangan yang telah berdaftar di MyIPO melalui pakej MyMark.
“Pakej MyMark adalah satu usaha bagi melindungi usahawan daripada dieksploitasi oleh cybersquatters. Kegiatan cybersquatting ialah apabila pendaftaran nama cap dagangan sebagai nama domain dibuat oleh pihak lain dan bukan oleh pemunya.
“Kelewatan mendaftarkan nama domain juga boleh menyebabkan pihak lain atau pesaing menggunakan jenama orang lain bagi promosi barangan lain yang tidak berkaitan di internet,” katanya berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di Antara MyIPO dan MYNIC Berhad, di Akademi Harta Intelek MyIPO, di Wisma OUA Bangsar, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan & Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rostam Affendi Salleh; Pengerusi MyIPO, Dr Rozhan Othman; Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd Roslan Mahayudin dan Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan.
Terdapat empat kategori pakej MyMark yang ditawarkan iaitu Pakej Basic 5, Pakej Basic 10, Pakej Premium 5 dan Pakej Premium 10.
Pakej Basic 5, di mana pemohon boleh memilih sehingga dua nama domain untuk didaftarkan daripada .my; .com.my; .net.my; .org.my; dan .name.my bagi tempoh pendaftaran selama lima tahun dengan yuran serendah RM688 iaitu harga diskaun 31.2 peratus daripada harga asal.
Pakej Basic 10 pula, pemohon boleh mendaftarkan sehingga dua nama domain selama 10 tahun dengan bayaran RM1,088 dan diskaun sebanyak 45.6 peratus.
Manakala bagi Pakej Premium 5, pemohon boleh memilih tiga hingga lima nama domain untuk pendaftaran selama lima tahun dengan bayaran sebanyak RM1,188 dengan diskaun 39.4 peratus.
Pakej Premium 10 pula ialah untuk pendaftaran tiga hingga lima nama domain untuk tempoh 10 tahun dengan bayaran RM1,988 dan diskaun 49.3 peratus.
Saifuddin juga berkata, berdasarkan statistik pendaftaran cap dagangan tempatan bagi tempoh lima tahun iaitu 2014 hingga 2018, sebanyak 60,463 mempunyai potensi untuk didaftarkan sebagai nama domain.
“Bagi tempoh Januari sehingga Disember 2018, MyIPO telah merekodkan sebanyak 43,656 permohonan pendaftaran cap dagangan dan 45 peratus atau 19,863 permohonan adalah cap dangangan tempatan dengan peningkata sebanyak dua peratus berbanding 2017.
Beliau berkata, harta intelek terutamanya cap dagangan melalui penjenamaan adalah satu bentuk aset baharu yang menjana kewangan.
“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Brand Finance, jenama Amazon telah dinobatkan sebagai jenama paling bernilai dengan nilai AS$187,905 juta pada 2018.
“Ini diikuti oleh Apple di tempat kedua dan seterusnya Google di tempat ketiga.
“Manakala Maybank pula termasuk dalam antara 500 jenama paling bernilai (kedudukan 494) yang disenaraikan oleh Brand Finance,” katanya.
Beliau berkata, 1,000 pendaftaran terawal cap dagangan dengan pakej MyMark akan diberi potongan harga lebih 50 peratus.
“Kalau Pakej Premium 5 dan 10 menawarkan pendaftaran tiga hingga lima nama domain dengan potongan diskaun antara 40 hingga 50 peratus, Pakej Early Bird kita akan beri lebih daripada 50 peratus potongan harga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette