KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Februari susut 0.4 peratus berbanding 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Dari segi mata indeks, IHP merekodkan 120.8 berbanding 121.3 pada bulan yang sama tahun lepas.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan indeks kumpulan pengangkutan (-6.8 peratus) yang menyumbang 14.6 peratus daripada keseluruhan wajaran telah diimbangi dengan peningkatan indeks kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.0 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (+1.0 peratus).
Bagaimanapun, kumpulan utama makanan dan minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan bagi Februari 2019 sebanyak 1.0 peratus kepada 133.1 berbanding 131.8 pada bulan yang sama tahun lepas.
Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.
Selain itu, kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain turut menunjukkan peningkatan 2.0 peratus, diikuti restoran dan hotel (+1.3 peratus), pendidikan (+1.3 peratus) dan minuman alkohol dan embakau (+1.1 peratus).
IHP bagi tempoh Januari hingga Februari 2019 menyusut sebanyak 0.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding bulan Januari 2019.
Secara keseluruhannya, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol kekal menunjukkan peningkatan iaitu 1.0 peratus pada Februari 2019.
Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan daging (+2.1 peratus), susu dan telur (+1.8 peratus), ikan dan makanan laut (+0.1 peratus) dan buah-buahan (+0.1 peratus).
Sebaliknya, indeks bagi subkumpulan Sayur-sayuran turun 6.3 peratus diikuti oleh subkumpulan gula, jem, madu, coklat dan manisan (-2.2 peratus) dan minyak & lemak (-0.6 peratus).
Antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah telur ayam (+14.2 peratus), cili burung (+5.8 peratus), kerang (+5.5 peratus), halia (+4.6 peratus), ayam (+4.5 peratus), epal (+2.7 peratus), pisang (+2.4 peratus), ubi kentang (+1.8 peratus), udang (+1.1 peratus) dan daging lembu (+1.0 peratus).
Sementara itu, indeks makanan di luar rumah terus meningkat kepada 3.4 peratus pada Februari 2019 berbanding Februari 2018.
Kenaikan harga bagi burger, ayam goreng, nasi campur dan makanan berasaskan mee telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan ini.
Secara keseluruhannya, semua negeri mencatatkan penurunan antara 0.2 peratus hingga 1.4 peratus bagi Februari 2019 berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Namun begitu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus dan 0.2 peratus.
Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol mencatatkan kenaikan lebih tinggi di kebanyakan negeri di Malaysia. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kenaikan 3.7 peratus dan 1.3 peratus bagi indeks kumpulan makanan dan minuman Bukan Alkohol, melebihi paras indeks nasional bagi Februari 2019 berbanding bulan yang sama tahun 2018.
Pulau Pinang mencatatkan kenaikan yang sama dengan paras indeks nasional bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.
Indeks teras Februari 2019 menunjukkan kenaikan 0.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api Lain (+2.3 peratus), makanan & minuman bukan alkohol (+1.7 peratus), restoran & hotel (+1.3 peratus) dan pendidikan (+1.3 peratus).
Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal. – MalaysiaGazette