Home Nasional Polis tunggu laporan lengkap kes ugutan Jufazli

Polis tunggu laporan lengkap kes ugutan Jufazli

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersalaman dengan sebahagian anggota polis yang hadir menunaikan solat Jumaat sempena Majlis Peringatan Hari Polis ke 212 di Masjid Sallehin Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menunggu laporan lengkap  siasatan kes aktivis politik, Jufazli Shi Ahmad yang ditahan berhubung serangannya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kertas siasatan bagi kes itu sedang disiapkan sebelum dikemuka kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Siasatan terus dijalankan. Bila lengkap kita akan serah ke DPP.

“Ada laporan forensik dan laporan tertentu untuk kita siapkan sebelum dihantar ke DPP. Kita akan selesaikan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di Masjid Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.

Terdahulu, Jufazli yang merupakan aktivis berusia 30 tahun dalam siaran langsungnya di laman Facebook menunjukkan sekurang-kurang empat anggota polis menahannya dalam satu serbuan kira-kira pukul 4 pagi di rumahnya di Cheras.

Dalam video tersebut, Jufazli membuat kenyataan terbuka menuduh Dr Mahathir melakukan pelbagai jenayah termasuk rasuah dan penyalahguaan kuasa.

Dia sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya kita telah membuat persiapan rapi berhubung Sambutan Hari Polis ke-212 yang bakal disambut Isnin ini.

Katanya, sambutan itu bukan sahaja dilakukan dinperingkat ibu pejabat tetapi juga di setiap negeri dan daerah.

“Kita akan adakan sambutan ini secara serentak dan dijangka  dihadiri oleh Perdana Menteri,” ujatnya. – MalaysiaGazette