PUTRAJAYA – Pembayar cukai kategori syarikat yang mempunyai tempoh perakaunan berakhir 31 Januari 2018, 28 Februari 2018 dan 31 Mac 2018, tetapi gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran (TT) 2018 adalah layak untuk menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata ini adalah bagi membolehkan pembayar cukai bagi kategori itu menikmati pengurangan penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus atau 15 peratus mengikut fasa yang disertai oleh mereka.
“Tarikh akhir mengemukakan BNCP kategori syarikat bagi TT 2018 adalah tujuh bulan daripada tarikh tempoh perakaunan syarikat itu berakhir.
Bagaimanapun, LHDN berkata, syarikat itu masih lagi layak untuk menyertai PKPS, seterusnya menikmati kadar penalti yang ditawarkan sekiranya BNCP bagi Tahun Taksiran 2018 dikemukakan dalam tempoh PKPS manakala baki bayaran cukai tersebut sekiranya ada, perlu dibuat sebelum program berakhir.
Menurut LHDN, fasa pertama PKPS akan tamat pada 31 Mac ini (2019), manakala fasa kedua pada 30 Jun depan (2019).
“Justeru, LHDN menyeru pembayar cukai terutamanya pemilik akaun bank di luar negara yang mempunyai pendapatan yang tidak pernah dilaporkan kepada LHDN agar segera tampil menyertai program ini,” katanya.
Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh mengunjungi pejabat LHDN yang berhampiran; menghubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara); atau menghantar e-mel pertanyaan kepada: [email protected] – MalaysiaGazette