KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan yang membunuh seramai 50 umat Islam di dua masjid di Chirstchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, apa yang dilakukan oleh pengganas itu dengan harapan umat Islam melakukan perkara yang sama atas nama membalas dendam.
“Namun, kita sebagai umat Islam yang mempercayai Allah, kita kata ‘tidak’ kepada keganasan dan dendam,” katanya berucap pada himpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Mujahid, Allah berfirman, barang siapa yang membunuh satu nyawa, maka umpamanya dia mebunuh seluruh nyawa manusia, dan siapa yang menjaga satu nyawa, maka seolah dia menghidupkan manusia keseluruhannya.
Katanya, berpegang pada ayat Quran itu, beliau mengajak umat Islam agar tidak melakukan perbuatan yang sama sebagaimana dilakukan pengganas, kerana itu sebagai perangkap untuk menjebakkan orang Islam ke arah kejahatan.
“Memang menjadi hasrat pembunuh itu supaya kita menjadi seperti dia, supaya kita menganas seperti mereka, tapi kita diingatkan oleh Allah agar tidak berbuat demikian.
“Kalau kita seperi mereka, kononnya membalas dendam, apa bezanya kita dengan si pengganas itu. Tapi kita orang Islam, kita tidak melakukannya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette