KUALA LUMPUR – Oman muncul juara Piala Air Marine 2019 setelah menewaskan Singapura 5-4 menerusi penentuan penalti pada perlawanan akhir setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Oman yang terkenal dengan jolokan Gulf Samba mempamerkan permainan pantas dan menghiburkan sepanjang 90 minit.
Pasukan kendalian Maqbool Mohammed Shakir Al- Balushi membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang Abdul Aziz Humaid Mubarak Al-Muqbali pada minit ke-21.
Tersentak dengan gol itu, Singapura turut mengatur beberapa percubaan untuk mencari gol penyamaan namun kekentalan pertahanan pasukan Timur Tengah itu mengecewakan jentera serangan lawan.
Oman terus melakukan serangan pada separuh masa kedua namun percubaan ke arah gol pada minit ke-53 ditepis keluar penjaga gol Singapura.
Ketika Oman seakan menggenggam kemenangan, Singapura mengejutkan lawannya dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-92 menerusi sepakan percuma Muhammad Zulfahmi Mohd Ariffin bagi mengeheret ke penentuan penalti.
Bagaimanapun hasrat Singapura untuk membawa Piala Air Marine menyeberangi Tambak Johor tidak kesampaian apabila tewas 4-5 pada penentuan penalti. – MalaysiaGazette