Home Nasional Pemandu van maut, sembilan pelajar USM Kubang Kerian cedera

Pemandu van maut, sembilan pelajar USM Kubang Kerian cedera

GERIK – Seorang pemandu van maut manakala sembilan pelajar daripada Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan cedera selepas van itu terbabit kemalangan di Kilometer 26, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Kupang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Ismail Che Isa berkata, mangsa Ramli Mat Daud, 53, maut di tempat kejadian manakala tujuh pelajar cedera ringan serta dua pelajar masing-masing mengalami patah paha kanan dan cedera di bahagian belakang badan mereka.

Beliau berkata, dalam kejadian pukul 5 petang tadi, kesemua mereka menaiki van jenis Nissan Urvan dari arah Kupang ke Gerik dalam perjalanan pulang ke Kelantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, van yang dipandu Ramli dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan masuk ke dalam longkang dan terbalik.

“Akibat kemalangan itu pemandu van itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Ismail berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Gerik, Shahirul Anwar Abd Azam berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 5.34 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, kesemua mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette