KUALA LUMPUR – Polis berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah berikutan tertangkapnya seorang lelaki yang menjurus kepada penemuan 400 kilogram dadah jenis syabu.
Dadah jenis syabu atau methamphetamine itu dibungkus dalam 400 bungkusan dengan tulisan Cina ‘Guan Yin Wang’
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Abdullah Sani berkata, dadah tersebut mampu menampung kegunaan lebih 800,000 penagih dadah dan dipercayai untuk pasaran negara jiran.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 Mac 2019 untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain syabu, operasi yang dilakukan bersama Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan KDNKA Bukit Aman serta beberpa pasukan khas lain Bukit Aman itu turut merampas sebuah van, wang tunai sebanyak RM273 dan dua telefon bimbit.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan. – MalaysiaGazette