Home Sukan Skuad B-23 bermula garang

Skuad B-23 bermula garang

Pemain Malaysia B- 23, Akhyar Rashid melakukan percubaan pada perlawanan pertama Pusingan Kelayakan Kejohanan Piala AFC B- 23 2020 menentang Filipina di Stadium Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2019

SHAH ALAM – Pemain muda sensasi, Akhyar Rashid tampil cemerlang membantu skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) meraih kemenangan 3-0 ke atas Filipina pada aksi Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Penyerang berusia 20 tahun itu berjaya meledak dua gol pada separuh masa pertama walaupun kurang bermain bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.

Namun bekas pemain Kedah itu membuktikan aksinya di pentas Asia dengan penuh menyakinkan.

Kemenangan membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee mengutip tiga pada aksi pembukaan itu sebagai langkah kanan dalam usaha skuad negara merebut slot ke saingan AFC yang berlangsung di Thailand tahun depan.

Namun, Kim Swee perlu memperbaiki ketumpulan penyudah yang boleh menjadi penghalang pada aksi berikutnya apabila deretan peluang ketika bertemu Filipina gagal menemui jaring gol.

Dengan menurunkan barisan terkuat bagi aksi pembukaan, hanya memerlukan minit keempat untuk membuka jaringan menerusi Akhyar yang melakukan satu percubaan menewaskan Micheal Asong.

Malaysia terus garang memburu gol namun beberapa peluang gagal diterjemahkan sebelum Akhyar menjaringkan gol kedua menerusi penyudah menggunakan tumit pada minit ke-30.

Pemain gantian, Faisal Abdul Halim kembali menceriakan penyokong negara dengan gol menarik selepas mudah menggelecek Asong dan pertahanan Filipina sebelum menyumbat masuk bola pada minit ke-84.

Sementara itu, satu lagi perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang menyaksikan China di bawah bimbingan Guus Hiddink melaungkan amaran sebagai pasukan pilihan selepas membelasah Laos 5-0 sekali gus mendahului Kumpulan J.

Selepas ini, China akan bertemu Filipina sementara Malaysia akan meneruskan pemburuan tiga mata bertemu Laos, gelanggang sama, pada Ahad ini. – MalaysiaGazette