Home Nasional Kenyataan Azhar keterlaluan

Kenyataan Azhar keterlaluan

Ahmad Yakub

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang melabelkan rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan sebagai kaki kelab adalah satu penghinaan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kenyataan Azhar Azizan Harun keterlaluan seolah-olah majoriti rakyat Kelantan yang berada di luar tidak tahu tentang dosa dan pahala.

Sedangkan, rakyat Kelantan di luar sana ada dalam kalangan penjawat awam, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tokoh-tokoh korporat yang banyak menyumbang untuk masyarakat dan negara.

Kenyataan seumpama itu, menurut beliau boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka negatif rakyat negeri lain terhadap rakyat Kelantan sehingga boleh mencetuskan sentimen kenegerian.

“Beliau sebagai seorang Pengerusi SPR sewajarnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan umum dan seharusnya lebih mengetahui tentang fakta sejarah Kelantan yang sinonim dengan panggilan Negeri Serambi Mekah yang menggambarkan dekatnya mereka dengan kehidupan beragama.

“Selain itu, beliau perlu faham bahawa sesiapa sahaja berhak memilih pentadbiran Islam sebagai asas pemerintahan negeri.
“Hal itu adalah suatu perkara yang baik dan tidak sepatutnya dijadikan isu. Sekiranya ada beberapa orang yang berbuat maksiat, adalah salah mengaitkan dengan seluruh rakyat Kelantan,” tegasnya.

Isu ini tercetus selepas Azhar berkata, mencadangkan pendaaftaran pengundi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dilakukan kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan pengundi mengundi di tempat ia mendaftar walaupun tinggal di tempat lain.

Disebab itu, kira-kira 6,000 pengundi Kelantan balik ke negeri tersebut untuk mengundi menyokong hudud, sedangkan pada masa-masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengecam Azhar berhubung kenyataan tersebut.

Malah, beliau turut mempersoal kewajaran Azhar mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan seumpama itu kerana beliau memegang jawatan Pengerusi SPR, yang mana sepatutnya berkecuali dalam hal-hal politik. – MalaysiaGazette