KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan tindakan terbaru Donald Trump mengiktiraf Bukit Golan kepada Israel sebagai melampau dan boleh menambahkan keganasan yang mengancam keamanan dunia.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu jelas menunjukkan kesombongan Presiden Amerika Syarikat yang dipengaruhi zionis.
“Trump sepatutnya menghormati pemilik asal bumi Palestin, bukan meneruskan agenda peluasan kuasa zionis di Palestin.
“Pendirian Pas kekal untuk tidak mengiktiraf cadangan Dua-Negara (Two-State) dan menolak sebarang tindakan hegemoni zionis yang hanya mendatangkan ketegangan di rantau Timur Tengah dan dunia keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Di Baitulmaqdis semalam, agensi berita AFP melaporkan, Trump akan menandatangani perintah mengiktiraf kedaulatan Israel terhadap Bukit Golan apabila beliau bertemu dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di Washington, hari ini.
Tindakan Trump itu sekali lagi melanggar persefahaman antarabangsa sejak sekian lama dengan menyatakan AS patut mengiktiraf kedaulatan Israel terhadap kawasan strategik itu yang dirampas negara zionis terbabit daripada Syria dalam Perang Enam Hari pada 1967.
Bagaimanapun, beliau tidak menjawab sama ada akan mengeluarkan perintah untuk pengiktirafan itu.
Netanyahu cuba mendapatkan pengiktirafan terbabit sejak sekian lama dan penganalisis melihat kenyataan Trump yang dilakukan menerusi muat naik di Twitter sebagai hadiah pilihan raya Israel yang dijadualkan pada 9 April ini. – MalaysiaGazette