Home Politik Anwar kata anaknya Izzah berhak dan layak beri pandangan

Anwar kata anaknya Izzah berhak dan layak beri pandangan

foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – “Izzah adalah anak sulong kami. Sebagai bapa, kebahagiaan dan kesejahteraan beliau adalah keutamaan saya,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Facebook beliau hari ini.

Katanya, sebagai bapa beliau juga terpanggil untuk menasihati anak-anaknya bahawa mereka akan sentiasa dihadapkan dengan cabaran dan kekecewaan dalam apa juga lapangan yang dipilih.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, derita dan kesengsaraan yang ditanggung keluarganya sejak dua dekad lalu ternyata mengesankan.

“Izzah bangkit menjadi simbol kekuatan keluarga, dan menumpukan sebahagian hidupnya untuk memungkinkan reformasi di negara ini,” katanya.

Kata Presiden PKR itu lagi, anaknya Izzah berhak dan layak memberikan pandangan.

“Dan kami sekeluarga akan terus memberikan tumpuan kepada masa depan Malaysia bersama kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mencetuskan kontroversi apabila meluahkan kesukarannya untuk bekerja di bawah pentadbiran Dr Mahathir yang disifatkan sebagai bekas diktator yang telah banyak merosakkan negara dan keluarganya.

Luahan semasa wawancara dengan The Straits Times Singapura itu menerima kritikan pelbagai pihak, malah ada yang merumuskan puteri reformasi itu sebagai tidak beretika, tidak matang dan mengaibkan imej perdana menteri.

Nurul Izzah bagaimanapun mempertahankan kenyataannya itu di mana menurut beliau istilah diktator bukanlah kali pertama beliau sebut. – MalaysiaGazette