SHAH ALAM – Kira-kira enam individu lagi dihadapkan ke mahkamah hari ini berhubung siasatan rasuah membabitkan kegiatan rumah urut di sekitar Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, cadangan itu dibawa pihaknya dan dipersetujui oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan di mahkamah.
“Pada hari ini kita tuduh lebih kurang 4 atau 6 orang, susulan kes itu kita sudah siap dan sedang bawa ke mahkamah setelah dipersetujui oleh Timbalan Pendakwa Raya.
“Hari ini mereka akan dituduh dan mungkin berterusan, bergantung kepada keputusan pendakwa raya.
“Tapi semua kes kita telah cadangkan didakwa di mahkamah dan bergantung kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian bangunan baharu Kompleks SPRM Selangor, di sini, hari ini.
Semalam, empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memberi suapan kepada pegawai imigresen supaya tidak mengambil tindakan di bawah Akta Imigresen terhadap warga asing di premis rumah urut di ibu negara.
Selasa lalu, seramai 14 direman antara empat hingga lima hari bermula hari sama bagi membantu siasatan SPRM berhubung kesalahan menerima wang sogokan untuk melindungi premis rumah urut di sekitar Kuala Lumpur.
Daripada jumlah tersebut, tujuh daripadanya direman empat awam merupakan penjawat awam termasuk tiga polis, tiga penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang pegawai bomba.
Selain itu, tiga individu lain turut direman empat hari manakala empat pemilik premis rumah urut pula direman lima hari.
Mengulas tentang ketidakpuasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap tindakan bersendirian SPRM itu, Azam berkata, pihaknya mengambil tindakan berdasarkan bidang kuasa agensi itu sahaja.
“Kita menjalankan tindakan ikut bidang kuasa kami, jadi kita mengalu-alukan kalau ada mana-mana jabatan seperti PBT nak bekerjasama dengan kami
“Sekiranya mereka berasa tidak puas hati dengan tindakan kami, boleh datang bertanya dengan kami lebih lanjut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette