Home Politik Nurul Izzah belum cukup matang

Nurul Izzah belum cukup matang

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya

KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan komen tidak baik terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, apatah lagi menerusi wawancara media Singapura The Straits Times pada Jumaat lepas.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya berkata Nurul Izzah yang arif dalam arena politik, masih belum cukup matang, tidak rasional serta emosi dalam memahami pendirian Dr Mahathir serta kerajaan.

“Apa yang dilakukan oleh perdana menteri dan kerajaan ketika ini tidak harus dilihat secara peribadi oleh Nurul Izzah, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negara.

“Sebagai seorang daripada anggota parlimen dan bekas Naib Presiden PKR, saya yakin Nurul Izzah tidak lupa bahawa kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah keputusan sebulat suara majlis pimpinan Pakatan Harapan (PH), manakala segala keputusan membabitkan hal ehwal pentadbiran kerajaan diputuskan bersama oleh jemaah menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Saya juga percaya Nurul Izzah faham serta akui bahawa tanpa YAB Tun, mustahil PH menang PRU14 serta mampu membentuk kerajaan pada hari ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, ketika wawancaranya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya selain meluahkan isi hati beliau yang beliau sukar bekerja dengan Dr Mahathir.

— BERNAMA