SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus kekal menjadi sebuah badan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak.
Titah baginda, SPRM seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada pihak tentu ketika melakukan siasatan.
“Beta juga ingin memberikan nasihat kepada pihak SPRM agar kekal menjadi satu badan yang bebas daripada sebarang pengaruh oleh mana-mana pihak termasuk orang-orang politik.
“SPRM seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa atau dengan kata lain without fear and favour,” titah baginda ketika merasmikan Kompleks SPRM Selangor, di sini, hari ini.
Turut berkenan mencemar duli, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.
Kompleks SPRM Selangor bernilai RM41 juta ini mula didirikan pada penghujung Februari 2014 dan diserahkan secara rasmi pada November 2017.
Ia mempunyai kemudahan 12 bilik rakaman percakapan saksi dan tertuduh termasuk tiga bilik yang dilengkapi alat perakam vidoe yang canggih dikenali sebagai Video Interviewing Room (VIR), bilik kawad cam, surau lelaki dan wanita, pusat sumber serta gimnasium.
Baginda juga menitahkan agar pegawai SPRM diberi kebebasan untuk menjalankan tugas menyiasat secara profesional dengan peruntukan kuasa sedia ada.
“Mereka perlu menjalankan tugas menyiasat secara profesional tanpa arahan-arahan tertentu yang boleh mengganggu siasatan mereka.
“Dengan cara ini pihak SPRM akan dilihat sebagai satu badan yang boleh dipercayai oleh rakyat bagi membanteras gejala rasuah.
“Ia sekali gus menepis segala tanggapan negatif rakyat terhadap SPRM berkaitan dengan menguruskan amanah,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette