SHAH ALAM – Pemilik akaun Facebook Cik Miera hari ini memohon maaf dan mengaku membuat kenyataan beremosi tanpa mengetahui fakta sebenar punca kecederaan Allahyarham Muhamad Adib Kassim yang meninggal pada 17 Disember tahun lalu.
Siti Syafika Amira Mohd Rasani, 27, yang bekerja sebagai jururawat di Institut Jantung Negara (IJN) di bilik pembedahan itu juga dalam masa yang sama mengakui menulis kenyataannya pada 22 Mac 2018 tanpa mengetahui fakta sebenar.
Justeru beliau turut memohon maaf khusus kepada Doktor Ahmad Hafizam Hazmi kerana secara spesifik menujukan kenyataannya kepada saksi ke-24 prosiding inkues itu.
“Kepada doktor yang saya tujukan saya minta maaf kerana bertindak emosi tanpa mengetahui fakta sebenar, minta maaf kepada semua yang terlibat kerana berlaku kekecohan.
“Kerana semasa posting saya saya percaya Adib dipukul tanpa mengetahui fakta sebenar selepas itu saya yakin doktor memberi keterangan berdasarkan kepakarannya termasuk doktor forensik,” katanya kepada Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Jelas saksi ke-25 tersebut, kenyataan yang dibuatnya hanya berdasarkan penceritaan rakan sekerjanya, Ashraf Baruji yang pernah memberi keterangan semasa prosiding inkues kematian Adib yang anggota bomba itu pernah mengakui dipukul.
Amira juga mengakui terlalu mengikut perasaan apabila melihat kesedihan yang menyelubungi keluarga Adib, tunangnya serta kesungguhan rakan-rakan sekerjanya ketika di IJN selama hampir 20 hari.
“Sebelum ini, saya ada dengar bahawa Adib telah mengaku dia telah dipukul saya dengar daripada Ashraf lama selepas merawat Adib. Pertama menggeleng kedua menggeleng, ketiga menggeleng,” tambahnya.
Beliau turut ditanya semula tentang pendedahannya di media sosial berkenaan soal lebam dan bengkak di muka Adib ketika mendapat rawatan di IJN, namun Amira mengaku hanya nampak bengkak di muka sahaja manakala lebam di pangkal paha adalah kesan daripada cucukan jarum drip semasa di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) sebelum dipindahken ke IJN.
“Ketika itu kami melihat mukanya yang bengkak nampak lebam di dada, di pangkal dada,” ujarnya.
Akhir sekali, Amira juga mengakui tidak ada mana-mana doktor yang bertugas merawat Adib di IJN yang pernah memaklumkan padanya tentang kecederaan anggota bomba itu.
Amira turut mengaku dirinya tiada kepakaran untuk menentukan punca kecederaan dan kematian Adib sebaliknya ia merupakan bidang kuasa Pakar Forensik IJN, Dr. Ahmad Hafizam Hazmi yang memberi keterangan pada Jumaat lalu sebagai saksi ke-24.
Selepas kejadian memuat naik kenyataan itu pada Jumaat lalu, tiada tindakan yang diambil oleh IJN kepada Amira namun jururawat itu telah dipanggil oleh pihak pengurusan untuk penjelasan lebih lanjut susulan tindakannya.
Pada Jumaat lalu, Amira menerusi akaun FB Cik Miera menimbulkan kekecohan apabila menyifatkan Ahmad Hafizam berbohong apabila mengatakan bahawa kecederaan yang dialami Adib bukan berpunca daripada dipukul. -MalaysiaGazette