Home Ekonomi Kerajaan teruskan projek MRT2, MRT3

Kerajaan teruskan projek MRT2, MRT3

Dewan Rakyat
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang diperkenalkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, langkah itu adalah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan awam di Lembah Klang.

Menurutnya, projek berkenaan diteruskan setelah kerajaan berunding dengan pihak kontraktor sehingga mengurangkan kos keseluruhan dua projek berkenaan sebanyak RM23.84 bilion.

Namun, keputusan membatalkan kontrak tertakluk kepada harga yang boleh dikurangkan, mutu kerja yang dijalankan serta sama ada wujud unsur-unsur salah laku dan penyelewengan.

“Sekiranya pemotongan harga yang munasabah boleh dicapai dengan mutu kerja yang terjamin, maka sesuatu projek boleh dipertimbangkan untuk diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Guan Eng menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang bertanyakan mengenai MRT2 dan LRT3 sama ada diberikan secara terus atau secara tender terbuka.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, bagi projek LRT3 perbincangan dengan kontraktor sedia ada telah dilakukan dan projek tersebut diteruskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM16.63 bilion.

“Perbincangan, rundingan dan usaha rasionalisasi telah berjaya mengurangkan kos per kilometer dan seterusnya kos keseluruhan kepada RM16.63 bilion daripada kos asal. RM31.65 bilion.

“Kemajuan projek adalah tujuh peratus siap semasa rundingan semula kontrak diadakan,” ujarnya.

Dalam pada itu tambah beliau, perubahan struktur projek bagi pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Serdang Putrajaya serta langkah-langkah rasionalisasi yang berkaitan telah berjaya mengurangkan kos projek sebanyak RM8.82 bilion.

“Kerajaan turut mengambil pendekatan untuk tidak membatalkan dan menender semula kontrak kerana ini akan menaakibatkan bayaran pampasan, kenaikan kos pembinaan dan juga kelewatan dalam pembinaan projek,” katanya.

Tambahnya, perkembangan bagi projek itu juga telah mencapai 36.6 peratus siap apabila rundingan semula kontrak dipersetujui. – MalaysiaGazette