Home Nasional Dua maut, 34 cedera kemalangan di Perak

Dua maut, 34 cedera kemalangan di Perak

Dua maut, manakala 34 lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan masing-masing di Lenggong dan Tapah, hari ini.

IPOH – Dua maut, manakala 34 lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan masing-masing di Lenggong dan Tapah, hari ini.

Dalam kemalangan di Batu 4 Jalan Tapah-Cameron Highlands kira-kira 12.55 tengah hari tadi, seorang lelaki maut manakala 14 lagi cedera apabila sebuah kenderaan pelbagai guna, Honda Stream dan sebuah Perodua Alza bertembung.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata dalam kemalangan itu Mohd Ayup Ab Rahman, 55, dari Kota Bharu, Kelantan yang memandu Perodua Alza meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Tapah.

“Isteri, enam anak pasangan itu serta ibu mentua mangsa mengalami pelbagai kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, pemandu Honda Stream serta empat anak, seorang anak saudara mengalami pelbagai kecederaan, manakala isteri pemandu terbabit selamat, katanya.

Menurut Wan Azharuddin, siasatan awal mendapati, Perodua Alza dalam perjalanan ke Cameron Highland, namun apabila sampai di tempat kejadian, ia dilanggar oleh Honda Stream yang datang dari arah bertentangan.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, seorang lelaki maut, 20 cedera dengan tiga daripadanya parah apabila sebuah kereta jenis Nissan Almera bertembung dengan sebuah van di Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Lenggong.

Jurucakap komander operasi bomba Lenggong, Mohamad Anuar Mohd Saff berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang tadi kereta Nissan Almera dinaiki empat sementara van membawa 17 penumpang termasuk pemandu.

Akibat kemalangan itu, pemandu Nissan Almera, Shamsudin Sanak, 51, meninggal dunia dan tiga penumpang lain cedera parah, manakala kesemua yang menaiki van hanya mengalami kecederaan ringan, katanya.

Katanya kesemua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong manakala mayat Shamsudin diserah kepada pihak polis.

— BERNAMA