KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan berkata, kos penyelenggaraan Kapal Equanimity dari Ogos tahun lalu hingga Mac tahun ini sudah berjumlah RM14.22 juta.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang-BN), Kementerian Kewangan berkata, secara purata kos menyelenggara kapal itu menelan belanja antara RM1.7 juta sebulan sepanjang ia dibawa balik 8 Ogos tahun lalu.
“Bagi bulan Januari hingga Mac 2019 pula, jumlah kos yang telah dan akan dibelanjakan untuk kapal ini dianggarkan sebanyak kira-kira RM3.22 juta,” kata Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, sejak Ogos hingga Disember 2018, jumlah keseluruhan kos yang telah dibelanjakan untuk kapal ini adalah sebanyak kira-kira RM11 juta.
Ia meliputi bayaran kos penyelenggaraan, pembaikan, bahan api, guaman, insurans serta kos berkaitan proses penjualan kapal.
Kerajaan PH sebelum ini melantik syarikat Wilson Yacht Management Ltd (WYM) pada bulan Ogos 2018 yang lalu bagi menyelenggara kapal Equanimity.
Pelantikan ini dibuat berdasarkan kepada pengalaman serta kepakaran syarikat berkenaan dalam menyelenggara kapal-kapal mewah.
Kapal layar Equanimity kini berada di Langkawi di bawah jagaan dan kawalan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Proses penjualan kapal layar tersebut kini memasuki fasa kedua kerana harga bidaan yang diterima pada fasa pertama tidak dapat dipersetujui.
“Proses penjualan bagi fasa kedua ini dibuat secara private treaty/direct sale dan dijangka berakhir pada 31 Mac 2019,” ujar Kementerian Kewangan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: