Home Politik Jangan terpesona dengan lagu Tok Mad menang

Jangan terpesona dengan lagu Tok Mad menang

Mohamad Hasan

REMBAU- Jangan terpesona dengan lagu saya akan menang.

Itu pesan calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya harap orang Rantau termasuklah pengundi-pengundi jangan terpesona dengan lagu-lagu yang mengatakan Tok Mad menang… tidak perlu balik dan tidak perlu keluar mengundi. Lagu berkenaan diadakan supaya dapat mengurangkan jumlah pengundi terutama penyokong BN.

“Saya harap semua orang terutama pengundi luar balik dan bagi sokongan kepada BN kerana kehadiran saya dalam DUN amat penting untuk kita pastikan kerajaan PH ini tidak sewenang-wenangnya berjanji dan tidak sewenang-wenangnya menyanyikan lagu-lagu yang sebenarnya mereka tidak boleh nyanyi.

“Mereka buat lagu tetapi tidak boleh nyanyi. Dia punya lagu banyak… saya pun nak tengok nanti dalam masa terdekat yang dinyanyikan bahawa orang yang tanahnya 99 tahun atau ‘less hold’ semuanya nak bagi free hold. Saya nak tahu setakat ini apa usaha kerajaan PH Negeri Sembilan yang telah berjanji dahulu, janji manifesto di peringkat negeri.

“Saya minta supaya rakyat di Seremban jangan lupa. Ini janji mereka dan saya nak tengok sejauh mana… apakah mereka akan tunaikan janji.

“Ini tidak memerlukan kewangan dan jangan beselindung kata negeri nak bankrap. Saya tinggal dulu kewangan yang banyak. Saya akan pastikan sejauh mana janji ini mesti ditunaikan,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang dipetik dari UMNO Online.

Menurut Mohamad, BN memerlukan satu satu pasukan parti pembangkang dalam DUN yang boleh mengawasi dan boleh memeriksa atau semak dan imbang kerajaan sedia ada.

“Saya sebagai Ketua Pembangkang dalam dewan sebelum ini saya tahu latar belakang negeri ini,” ujarnya.

Sebelum itu, Mohamad mengadakan ramah mesra bersama media di Command Centre BN.

Mohamad atau lebih dikenali Tok Mad yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti percaya PH akan berusaha untuk memastikan beliau kalah pada PRK DUN Rantau ini.

“Menang atau kalah tidak membawa apa-apa bagi mereka tetapi yang bertanding itu Mohamad Haji Hasan. Pada masa yang sama PH juga mahu memastikan momentum UMNO dan BN perlu disekat. Jadi apa jua cara akan dilakukan untuk mereka pastikan PH menang.

“Sekarang ini pun dah banyak menteri yang datang dan yang tidak ada kena mengena pun datang,” katanya.

Tambah beliau, tugas yang menanti beliau pada PRK berkenaan adalah satu tugas yang rumit dan tidak semudah tanggapan sesetengah pihak.- MalaysiaGazette