Home Nasional Kenderaan bermotor perlu daftar guna VTA sah

Kenderaan bermotor perlu daftar guna VTA sah

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkuasakan proses pendaftaran kenderaan motor melalui sistem e-Daftar wajib bermula 1 April ini.

Dalam satu kenyataan agensi penguat kuasa itu memaklumkan, proses pendaftaran adalah dengan menggunakan nombor siri Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) yang sah.

Menurut kenyataan itu, setiap pengeluar kenderaan dan pihak berkenaan perlu mematuhi ketetapan itu bagi mengelakkan sebarang kesukaran atau sekatan terhadap proses pendaftaran kereta masing-masing.

“Pengeluar kenderaan hendaklah memastikan mereka mempunyai medan data berkaitan nombor siri sijil VTA di dalam sistem e-Daftar masing-masing sebelum 31 Mac ini seperti spesifikasi ditetapkan JPJ.

“JPJ menguat kuasakan perkara ini bagi memastikan setiap kenderaan motor yang akan didaftarkan serta dilesenkan mempunyai kelulusan VTA sah selain sebagai instrumen kawalan dan sekatan terhadap mana-mana pihak yang ingkar mendapatkan kelulusan daripada JPJ,” katanya.

VTA adalah proses mandatori terhadap kenderaan model baharu sebelum dibenar untuk didaftarkan dan dilesenkan JPJ.

Proses VTA itu dikuatkuasakan bagi memastikan setiap model baharu kenderaan terbabit mematuhi ciri-ciri pembinaan dan spesifikasi seperti ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah di bawahnya.

Sehubungan itu, JPJ menasihatkan semua pengeluar kenderaan mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan sistem e-Daftar masing-masing berfungsi dengan baik bagi mengelakkan sebarang masalah semasa proses pendaftaran kenderaan. – MalaysiaGazette