Home Politik Kerjasama MIC – Pas kikis kebimbangan bukan Melayu

Kerjasama MIC – Pas kikis kebimbangan bukan Melayu

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berucap pada Majlis Pelancran Diari Dari Penjara 1977-1981 di Dewan Bunga Tanjung Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kerjasama politik antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan Pas bukan perkara baharu.

Malah keterbukaan MIC dengan Pas akan membuatkan blok pembangkang lebih inklusif dan tidak bersifat perkauman.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan MIC sudah dijangka kerana kedua-dua parti itu sebelum ini saling menyantuni aktiviti parti masing-masing.

“Saya harap kerjasama yang wujud itu akan memberikan natijah yang positif bahkan kita memang menjangkakan.

“Ia bukan sesuatu yang luar biasa dan di luar jangkaan kerana MIC antara parti komponen selain UMNO yang terkedepan dalam isu ini kerana mereka sendiri pun hadir dalam Muktamar Pas tahun lepas.

“Pas pun dijemput dalam Perhimpunan Agung MIC. Saya sering mendengar ucapan-ucapan daripada presiden parti, ketua pemuda MIC yang amat positif bahkan dalam mesyuaurat Dewan Tertinggi BN antara yang paling kuat mendokong kerjasama UMNO dan Pas sebelum ini adalah MIC.

“Saya melihat ini satu fenomena atau sesuatu perkara yang amat menggalakkan. Kita tak sesekali akan meninggalkan kaum lain apatah lagi parti komponen BN.

“Bahkan kita akan memastikan kerjasama blok pembangkang itu akan menjadi inklusif,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Terdahulu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam posting di akaun Facebook miliknya hari ini berkata, kerjasama antara Pas dan MIC bagaikan sebuah keluarga yang bersatu atas dasar satu titik persamaan walaupun berbeza kaum.

Abdul Hadi berkata, kebersamaan Pas, MIC dan UMNO bukan perkara baru, malah ketiga-tiga parti ini pernah bersama menentang penjajah.

Asyraf Wajdi juga berkata, kerjasama MIC-Pas hari ini membuktikan dakwaan DAP yang kerjasama UMNO dan Pas akan mengundang ‘peperangan’ kepada bukan Melayu tidak berasas.

“Kerjasama UMNO-Pas di atas dasar penyatuan ummah tidak sesekali mengundang atau mencetuskan isyarat peperangan kepada bangsa-bangsa lain seperti mana yang ditohmah dan difitnah oleh DAP

“Sebab itu tema penyatuan ummah itu digunakan kerana ummah itu memberi konotasi inklusif, dia tidak hanya terikat kepada orang Islam, tidak terikat hanya kepada satu-satu kelompok, ia melangkaui agama dan kaum-kaum lain,” katanya.

Beliau turut berharap MCA mengikut jejak langkah MIC dan UMNO sendiri dalam menjalinkan kerjasama politik dengan Pas sekaligus meredakan kebimbangan bukan Melayu terhadap kerjasama itu.

“Saya amat mengalu-alukan dan mengharapkan agar wujud kerjasama seperti ini juga supaya kita merealisasikan hasrat kita bersama untuk membina kembali Malaysia yang asal, bukan Malaysia Baru.

“Malaysia asal adalah Malaysia yang mengiktiraf kepelbagaian agama dan kaum, kemajmukannya dipasakkan dengan perkara-perkara yang asas seperti mana yang dipersetujui dalam Perlembagaan

“Bukan saja menghilangkan kebimbangan, bahkan ini bukan kerjasama bersifat retorik, sebab kita nak bina Malaysia yang kuat, bukan hanya didominasi oleh satu kaum atau satu agama tapi yang mengiktiraf kemajmukannya dan teras menjadi tunjang dan akar negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MIC dan PAS sah jalin kerjasama