Home Politik Laporan CEP: Apa guna rahsia kalau beritahu rakyat

Laporan CEP: Apa guna rahsia kalau beritahu rakyat

Veteran UMNO merangkap Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sambil diiringi Penulis Buku Diari Dari Penjara, Datuk Seri Kamal Amir Kamal Hijaz (kiri) dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (dua kiri) melihat isi kandungan buku Diari Dari Penjara pada Majlis Pelancran Diari Dari Penjara 1977-1981 di Dewan Bunga Tanjung Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya melindungi laporan akhir Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sedangkan kewujudan dokumen itu sudah diumumkan kepada rakyat.

Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, rakyat berhak mengetahui kandungan laporan yang disediakan oleh Tun Daim Zainuddin dan anggota CEP lain itu untuk menilai prestasi kerajaan hari ini.

“Tidak sepatutnya disembunyi apa yang difikirkan oleh pihak pendesak kerajaan, jadi kalau OSA, tak guna beritahu adanya laporan (CEP).

“Kalau rakyat tak tahu apa benda dalam laporan, tahu-tahu benda ini dirahsiakan, tak perlu beritahu kepada rakyat. Apa benda nak sembunyi, kita tak tahu apa benda pun.

“Setiap perkara yang ada kaitan dengan rakyat, mesti didedahkan kepada rakyat, biarlah rakyat dapat tahu supaya rakyat boleh beri pandangan,” kata Ahli Parlimen Gua Musang kepada Malaysia Gazette selepas Majlis Pelancaran Buku bertajuk Diari Dari Penjara di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan itu akan terus dilindungi mengikut OSA.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak seperti kerajaan sebelumnya, pentadbiran semasa tidak akan menggunakan OSA untuk ‘menyembunyikan’ rasuah.

Laporan akhir CEP hanya diberikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ia tidak akan dikongsi kepada khalayak ramai.

Majlis Penasihat Kerajaan ditubuhkan pada 12 Mei oleh Mahathir untuk bertindak sebagai penasihat mengenai isu ekonomi, kewangan dan perkara-perkara lain.

Selain Daim, majlis itu dianggotai empat lagi ahli iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Robert Kuok, Tan Sri Hassan Marican dan Prof. Jomo Kwame Sundaram.

Ditanya tentang kemungkinan laporan akhir CEP akan mendedahkan kelemahan pentadbiran Mahathir dan PH, Tengku Razaleigh bagaimanapun tidak menolak perkara terbabit.

“Tak tahu lah saya, kalau dia (Mahathir) takut kepada rakyat, apa guna dia ada dalam kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette