SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan dari PKR Dr S. Streram kali ini lebih peka dengan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya apabila tampil memakai pas pencalonanya di lehernya pagi ini.
Beliau berkot hitam hadir ke tempat berkumpul penyokong PH bersama Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution dan beberapa pemimpin PH termasuk M Kulasegaran Mujahid Yusof Rawa dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka tiba ke lokasi 8.20 pagi tadi dan berkumpul sementara menunggu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengiringi calon pada pukul 9 pagi ini untuk mengemukakan pencalonan.
Saifuddin memberi taklimat tatacara perarakan kepada penyokong bersama calon berkata, pegawai SPR yang terlajak dari laju dan menafikan Streram masuk ke dewan penamaan calon disebabkan lupa Pas calon pada 24 April lalu untuk PRU14.
“Hari itu dia lupa bawa pas pegawai SPR lajak dari laju dan Streram dinafikan.
“Hari ini dia tak lupa siap gantung pas di leher.
“Rukun SPR kena ada calon,kena isi borang pencalonan disertai pencadang dan penyokong semua lengkap pagi ini untuk mencalonkan Streram,” katanya di hadapan penyokong PH pagi tadi.
Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan TPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, M Kulasegaran, Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Fuziah Salleh.
“Kita ada 12 hari untuk menemui pengundi di 14 daerah mengundi dan akan masuk setiap kawasan serta pujuk, pujuk dan pujuk pengundi untuk undi calon Dr Streram, pakar bedah yang mewakili PPBM Amanah,PKR dan DAP,” katanya.
Pada PRU14 lalu, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding selepas Streram dilarang masuk disebabkan ketiadaan pas calon.
Pada 24 Mei lalu Streram memfailkan petisyen di Mahkamah Seremban meminta mahkamah mengisytiharkan kemenangan Tok Mat tidak sah. – MalaysiaGazette