Home Sukan Kemenangan Leicester hadiah buat Vichai

Kemenangan Leicester hadiah buat Vichai

Penyokong Leicester mengangkat poster mendiang Vichai Srivaddhanaprabha tanda terima kasih kepadanya

LONDON – Leicester City meraikan kemenangannya menumpaskan Bournemouth dengan mata 2-0 semalam sebagai satu hadiah istimewa sempena kelahiran bekas pemiliknya, Vichai Srivaddhanaprabha.

Sebelum perlawanan bermula, gambar Srivaddhanaprabha dipamerkan di skrin di Stadium King Power bersama ungkapan ‘sentiasa di hati kami’ malah pengerusi kelab yang juga anak lelaki mendiang, Aiyawatt turut diperkenalkan kepada penonton.

Mendiang Srivaddhanaprabha yang terkorban dalam nahas helikopter Oktober tahun lalu dilahirkan pada 4 April 1958.

Jaringan menerusi ketua pasukan, Wes Morgan dan Jamie Vardy melengkapkan permulaan baharu kelab itu di bawah kendalian Brendan Rodgers dengan tiga kemenangan liga berturut-turut.

Ada cara tersendiri buat penyokong Leicester memberikan penghormatan kepada bekas pemilik dari Thailand itu yang akan genap 61 tahun 4 April ini.

Minit ke-61, penyokong di stadium turut menyanyikan lagu ‘Vichai ada cita-cita’.

“Saya fikir kami cukup bagus. Kami terpaksa bekerja keras dan ia adalah ujian sebenar buat kami,” kata Rodgers. – MalaysiaGazette