Home Nasional Streram mahu selesai masalah bangunan lama terbiar

Streram mahu selesai masalah bangunan lama terbiar

Calon PH, Dr. S. Streram bersalaman dengan salah seorang peniaga ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pasar Pekan Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2019.

PRK RANTAU – Satu jalan penyelesaian akan dicari bagi menangani masalah beberapa bangunan lama dan lot gerai kosong terbiarĀ  di Pekan Rantau.

Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram berkata, isu itu telah dibawa ke perhatian Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan telah dibincangkan.

“Saya diberitahu pihak di sini bahawa ada lebih kurang tujuh kedai kosong dan terbiar lama tanpa digunakan di Pasar Pekan Rantau ini.

“Hasil mesyuarat dengan MPN mereka menggalakkan peniaga dalam kalangan masyarakat setempat Pekan Rantau memohon permit untuk berniaga di lot-lot itu dan saya akan memastikan ia diselesaikan segera demi manfaat penduduk setempat.

“Ia pasti akan memberi peluang perniagaan sekaligus menambah pendapatan mereka,” katanya selepas walkabout di Pasar pagi Pekan Rantau di sini hari ini.

Streram berkata, semasa tinjauannya beliau nampak banyak bangunan pasar terbiar dan ia mencacatkan pemandangan.

“Bangunan lama di pekan ini sepatutnya dipulihara dan dipelihara dengan baik.

“Jadi usaha untuk membaikpulih dan mengecat bangunan itu akan dilaksanakan selepas ini kerana kita mahu ia dijadikan sebagai pusat tumpuan kebudayaan komuniti pelbagai setempat di Pekan untuk mempromosikan kebudayaan dan produk mereka,” tegasnya.- MalaysiaGazette