KUALA LUMPUR – Tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang membenarkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels dibimbangi akan melahirkan peguam yang diragui keabsahannya dalam persada pendidikan negara.
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman berkata, langkah itu akan menyebabkan seseorang yang lulus UEC boleh membuat permohonan untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) dan seterusnya berkhidmat sebagai peguam selepas memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan.
Malah katanya, Pendidik kecewa dengan sikap Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching apabila beliau mengucapkan tahniah dengan keputusan Tommy berhubung perkara itu.
“Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ternyata gembira dengan keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia yang mengiktiraf UEC sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels.
“Menerusi kenyataan yang ditulis dalam bahasa Mandarin dalam akaun Facebook rasminya malam tadi, Nie Ching turut mengucapkan tahniah secara khusus kepada Peguam Negara, Tommy Thomas yang merupakan Pengerusi Lembaga Kelayakan Profession Undang-undang Malaysia.
“Pendidik kesal kerana Lembaga Kelayakan Profession Undang-undang Malaysia telah bersetuju UEC adalah setaraf dengan STPM dan A-Levels, dan perkara ini membolehkan pelajar persendirian Cina boleh membuat permohonan untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Tommy dalam satu kenyataan memaklumkan PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021.
Kenyataan itu bercanggah kerana UEC masih lagi dalam kajian dan akan diketahui kedudukanmya Julai depan.
Bagaimanapun, KPM dilihat tergesa-gesa dan seakan terdesak mengumumkan bahawa permohonan calon perguruan bagi pemegang sijil UEC boleh diterima masuk ke kampus IPG.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuka permohonan calon perguruan kepada pemegang Sijil UEC namun ia dilihat bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Sepatutnya KPM mesti menangguhkan apa sahaja keputusan berkaitan UEC ini. Ini bermakna seolah-olah Unit Kajian Dasar yang diwujudkan tidak berfungsi dan tidak diiktiraf oleh kerajaan,” kata Normala lagi.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, Pendidik turut meragui individu yang menganggotai jawatankuasa pasukan kajian dasar tersebut dan mendakwa seolah-olah mempunyai berkepentingan berasaskan komitmen dalam organisasi yang selama ini berpihak kepada UEC.
“Asas penolakan kami mewakili Pendidik adalah SMP Cina (Sekolah Menengah Persendirian Cina) tidak berada dalam sistem dari segi 3 seksyen, iaitu 15, 17 dan 18 dalam Akta Pendidikan Negara 1996.
“Oleh itu, UEC daripada SMPC tidak boleh sesekali diterima untuk pengiktirafan ke IPTA dan/atau ke dalam sektor pekerjaan awam.
“UEC mewakili hanya 15 peratus daripada keseluruhan pelajar di Malaysia.
Sebab itu KPM sepatutnya tidak perlu melayan tuntutan mereka berdasarkan Perlembagaan Negara dan Akta Pendidikan 1996 ini,” tegasnya.
Justeru, beliau mengingatkan agar Ni Ching tidak menjadi seperti seorang yang ‘lebih sudu daripada kuah’ dan bersikap mendahului Menteri Pendidikan Malaysia sekaligus menggambarkan percanggahan kenyataan antara Menteri Pendidikan dengan status beliau sebagai Timbalan Menteri yang akhirnya akan menjejaskan integriti serta kredibiliti kedua-dua menteri dalam KPM itu sendiri. – MalaysiaGazette