KUALA LUMPUR – Penyertaan golongan muda yang rata-ratanya senang untuk dipengaruhi serta cenderung menyertai aktiviti keganasan dan radikal sebenarnya menjadi kebimbangan walaupun secara umumnya statistik sudah menunjukan sedikit penurunan.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau masih lagi bimbang walaupun Daesh sudah ditumpaskan tetapi hakikatnya keganasan itu akan sentiasa ada dan wujud pada masa-masa akan datang.
Dengan memberikan contoh tangkapan aktiviti keganasan sejak 2013 di Malaysia, katanya, sebanyak 481 individu yang ditangkap adalah kalangan warga tempatan dan orang luar dengan 80 peratus daripadanya adalah warga muda.
“Tidak ada istilah keganasan itu sudah berjaya dihapuskan. Ianya akan sentiasa muncul kembali dengan nama lain dengan konsep lain. Sejarah sudah membuktikan kenyataan ini.
“Tetapi apa yang menjadi kebimbangan saya sebenarnya adalah penyertaan golongan muda yang senang sekali di pengaruhi menggunakan agama, perikemanusian oleh golongan tidak bertanggungjawab disebalik aktiviti radikal keganasan seperti ini.
“Ini yang membimbangkan kita sebenarnya, penyertaan golongan muda dengan aktiviti keganasan yang semakin menjadi-jadi. Mereka cenderung dan mudah dipengaruhi oleh golongan yang mempunyai agenda.
“Umur mereka antara 14 hingga 16 tahun, ada juga pelajar universiti atau kolej, golongan seperti ini yang menjadi sasaran kumpulan pengganas. Malah ada rakyat kita yang menjadi pegebom bunuh diri di Iraq serta Syria dan hanya berusia dalam 20-an.
“Kita amat komited sebenarnya dalam melakukan pelbagai inisiatif pencegahan pada masa kini bagi memastikan dapat di kawal selain daripada memberi kesedaran kepada golongan muda. Antaranya seperti penganjuran ceramah seperti ini,” katanya sebentar tadi.
Beliau berkata demikian di hadapan sekumpulan belia dari negara anggota Komanwel di Asia iaitu Bangladesh, Brunei, India, Pakistan, Singapura dan Sri Lanka yang menyertai Persidangan Dialog Belia Komanwel di Kuala Lumpur.
Malaysia yang menjadi tuan rumah bagi persidangan bermula esok sehingga 5 April ini dengan kerjasama Unit Countering Violent Extremism (CVE), Sekretariat Komanwel dan Royal Commonwealth Society.
Tema persidangan ini adalah pencegahan kefahaman pelampau keganasan dengan menyasarkan golongan belia dengan antara aktivitinya bengkel interaktif mengenai perpaduan masyarakat, kepimpinan dan pencegahan kefahaman pelampau keganasan.
Selain daripada itu, peserta juga akan mengambil bahagian dalam simulasi Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di mana aktiviti debat yang akan dijalankan memberi fokus kepada isu-isu keamanan dan keselamatan sejagat. -MalaysiaGazette