Home Seni Hidup Elton John pula mahu boikot hotel Brunei

Elton John pula mahu boikot hotel Brunei

LONDON – Bintang lagenda Elton John kini tampil menyatakan bantahan terhadap Brunei berikutan pengumuman hukum mati yang akan dikuatkuasakan terhadap golongan gay serta pelaku zina.

Agensi melaporkan, Elton John menggesa masyarakat umum khasnya di Britain supaya memboikot hotel milik Brunei berikutan keputusan hukuman itu.

Aktor terkenal George Clooney kelmarin mahu kesemua 9 hotel dimiliki negara itu dipulaukan serta merta selain menyifatkan hukuman itu melampaui batas.

Terdahulu, kerajaan Britain dan serta segelintir ahli politik Kesatuan Eropah (EU) menggesa Brunei tidak meneruskan rancangan melaksanakan hukuman mati ke atas golongan gay dan jenayah zina.

Kata Elton John dalam laman sosial Twitter semalam, dirinya cukup terkejut dengan ketaksuban yang berlaku di Brunei.

Jelas penyanyi berusia 72 tahun, adalah satu tindakan betul untuk memboikot hotel-hotel sebagai tanda protes sikap tidak ‘perikemanusian’ di tonjolkan oleh Brunei.

“Saya memuji rakan saya, #GeorgeClooney kerana mengambil pendirian tegas mengenai diskriminasi anti gay dan ketaksuban yang berlaku di #Brunei, iaitu sebuah tempat yang bertindak kejam ke atas golongan gay atau lebih teruk lagi, dengan memboikot hotel milik Sultan (Brunei),” katanya.

Bagaimanapun, jelas Elton John, tindakan boikot berkenaan perlu diambil sebagai peringatan bahawa layanan seperti itu tidak boleh diterima sama sekali.

Kesembilan hotel berkenaan terletak di Britain, Perancis, Itali dan Amerika Syarikat.

Pada 2014, Brunei memperkenalkan undang-undang jenayah Islam, dengan denda atau penjara bagi kesalahan seperti hamil luar nikah atau tidak menunaikan solat Jumaat, tetapi menangguhkan perubahan lebih mendadak selepas mendapat bantahan antarabangsa.

Namun negara bekas jajahan Britain itu kini mendedahkan rancangan mengadakan undang-undang Syariah bermula 3 April ini dengan kanun keseksaan baru yang melaksanakan hukuman rejam sampai mati atau sebat untuk kesalahan liwat, zina atau rogol dan memotong tangan atau kaki untuk kesalahan mencuri.

Pengumuman itu, dan terutamanya mensasarkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender, mencetuskan kemarahan antarabangsa dengan ahli politik dan selebriti menggesa Brunei menggantung rancangan itu dengan segera. – MalaysiaGazette