Home Nasional Hub ISIS: KDN terus pantau aktiviti pengganas

Hub ISIS: KDN terus pantau aktiviti pengganas

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri sentiasa memberi perhatian kepada sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi seterusnya kepada hub pengganas DAESH dan ISIS.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain penguatkuasaan bersepadu, orang ramai juga digesa menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan sekiranya terdapat aktiviti kumpulan pengganas di kawasan mereka.

“Perkara ini kami ambil berat dan ada bukti melibatkan negara ini dan tindakan sudah diambil imigresen, polis dan pihak berkuasa lain, malah telah menahan mereka terbabit dan mereka yang berpotensi dan ada yang didakwa.

“Jika terdapat petunjuk kepada aktiviti keganasan, orang awam tahu perkara luar biasa berlaku, mereka harus melaporkan bantu polis dan kita akan ambil apa tindakan sewajarnya di sisi undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aktiviti kumpulan pengganas yang didakwa akan menjadikan negara ini sebagai hab baharu ISIS yang kini mensasarkan negara-negara Asia Tenggara untuk meluaskan pengaruhnya.

Sebelum ini, Gabungan Global Menentang ISIS/Daesh ditubuhkan pada September 2014 berikutan kebimbangan dunia terhadap Daesh serta ancamannya kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Menurut rekod, Malaysia menjalankan program radikalisasi bersepadu mencapai kejayaan membanggakan, dengan majoriti pengganas dan pelampau dipulihkan sepenuhnya serta kembali ke pangkuan masyarakat. – MalaysiaGazette