Home Politik Jentera UMNO, BN jangan terlalu selesa di Rantau

Jentera UMNO, BN jangan terlalu selesa di Rantau

Armand Azhar
Armand Azhar

KUALA LUMPUR – Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) jangan terlalu selesa walaupun calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan ada potensi menang.

Ini kerana, Pakatan Harapan (PH) terutama PKR akan menurunkan semua jenteranya untuk menjalankan kempen habis-habisan bagi memastikan calon mereka, Dr. Streram merampas kembali kerusi berkenaan pada 13 April ini.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azhar Abu Hanifa berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin kanan DAP, Anthony Loke akan turun sepanjang masa untuk berkempen kerana kawasan Parlimen mereka bersebelahan dengan DUN Rantau.

“Saya mohon semua penyokong dan jentera Barisan Nasional (BN) turun dan jumpa seramai mungkin pengundi di Rantau, teruskan berkempen secara sihat dan matang.

“Saya harap kita jangan terlalu selesa kerana PH pun saya lihat all out berkempen di Rantau. Kita kena ingat Anwar dan Anthony Loke turun kerana kawasan Parlimen mereka bersebelahan sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut beliau, UMNO dan BN mempunyai calon terbaik di DUN Rantau dan mempunyai track record yang baik, selain anak tempatan.

“Kita kena kerja kuat dan fokus untuk memastikan kemenangan manis buat Tok Mat.

“Sama-sama kita doakan semoga Allah permudahkan segalanya dan berkati segala usaha kita untuk pastikan kemenangan Tok Mat dan BN pada malam 13 April ini,” katanya. – MalaysiaGazette