Home Politik Jihad tiada kena mengena dengan peperangan – Ismail Sabri

Jihad tiada kena mengena dengan peperangan – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, istilah jihad yang diguna pakai dalam UMNO dan Pas tiada kena mengena dengan peperangan.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau merujuk istilah jihad itu sebagai perjuangan untuk menuntut keadilan sesuatu pihak malah ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, jihad digunakan memerangi orang tengah.

“Jihad bermaksud perjuangan, semasa berada dalam kementerian pertanian, saya berkata jihad memerangi orang tengah, lepas itu menteri pendidikan umumkan jihad pendidikan.

“Jihad adalah perjuangan tiada kena mengena dengan peperangan dan sebagainya. Ada orang fikir jihad ini maksudnya peperangan memerangi pihak lain.

“Bila saya sebut jihad memerangi orang tengah, tiada orang tengah ditembak, tiada siapa pun, tapi kita memerangi bagi pihak nelayan, petani daripada orang tengah,” kataya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan sebuah portal berkata bahawa kerjasama UMNO dan Pas merupakan jihad untuk menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang anti Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam.

Ismail Sabri juga dilaporkan berkata, kewujudan kerajaan pada hari ini dikuasai bukan yang mempunyai jumlah kerusi majoriti dalam Dewan Rakyat.

Beliau juga berkata, penyatuan ummah dalam kerajasama UMNO dan Pas bukan sahaja melibatkan orang Islam dan Melayu bahkan tidak meminggirkan bukan Islam termasuk Cina, India dan lain-lain kaum di negara ini.

“Semua dianggap ummah kalau dilihat dalam konteks lebih besar. Setiap kali ucapan, kita kata penyatuan ummah menyatupadukan umat Islam dan Melayu tanpa meminggirkan kaum-kaum lain.

“Ini terbukti selama ini Pas memerintah, tiada India yang tertindas, semasa Pas bersama DAP, DAP menyokong Pas. Tak timbul pun Pas merupakan parti yang ekstremis.

“Waktu pilihan raya saya di Bera, sewaktu saya menentang DAP, calon BN-Gerakan menentang DAP di Bera, Pemuda-Pemuda Pas membawa bendera DAP. Waktu itu DAP tak pernah kata pun Pas ekstremis.

“Pas terbukti di Kelantan lima penggal mereka memerintah tiada pun satu isu yang membabitkan kaum dan agama lain. Patung Buddha terbesar berada di Kelantan.

“Tiada isu kaum lain patut takut kepada penyatuan Islam antara UMNO dan Pas,” katanya.

Ditanya tentang dakwaan kerajaan PH anti Islam, Ismail Sabri bagaimanapun berkata, perarakan golongan LGBT merupakan salah satu pengiktirafan kerajaan kepada golongan songsang itu.

“Kita orang Islam, dari segi Kanun Keseksaan, perbuatan antara sejenis salah, dalam Islam sangat jelas salah perhubungan di antara satu jenis.

“Tapi perkara ini berlaku apabila perarakan dibenarkan. Malah Kabinet membincangkan tandas mana mereka (LGBT) boleh gunakan. Sebelum ini tidak timbul isu ini pun.

“Isu penghinaan kepada Islam dan kepada Nabi Muhammad secara terbuka berleluasa setiap hari, mungkin mereka beranggap mereka dilindungi,” katanya. – MalaysiaGazette