KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan meminta tempoh lanjutan sehingga enam bulan daripada kerajaan Singapura sebelum membuat sebarang keputusan berhubung projek Sistem Transit Rapid (RTS).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihak perlu mengkaji semula projek berkenaan khususnya untuk mengurangkan kos pembangunannya jika dilaksanakan kelak.
“Kita meminta sedikit masa daripada Kerajaan Singapura untuk mengkaji pilihan lain, sudah tentu kita sedang kaji kos projek, macam mana kita boleh kurang kos dan manfaat sepenuhnya projek itu.
“Kita minta lebih masa sambungan sehingga September ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan projek RTS yang menghubung jajaran Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura.
Sebelum ini, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bersedia mempertimbangkan untuk terbabit dalam projek RTS.
Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata kemudahan jaringan hubungan bagi kedua-dua negara itu seharusnya dipertingkatkan terutama bagi membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik pelabur Malaysia-Singapura. – MalaysiaGazette