Home Ekonomi Malaysia tak pernah digelar Harimau Asia – Najib

Malaysia tak pernah digelar Harimau Asia – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak pernah mendapat pengiktirafan gelaran ‘Harimau Asia’ pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.

Datuk Seri Najib Razak berkata, status ‘Harimau Asia’  hanya diberikan kepada empat buah negara iaitu Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan yang pesat membangun pada 1990-an.

“Malaysia hanya digelar sebagai ‘anak harimau’ (atau pun tiger cub) bersama Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Najib lagi, dalam tempoh sepanjang 48 tahun sejak Singapura meninggalkan Malaysia pada tahun 1963 sehingga tahun 2011 hanya dalam lima tahun sahaja pertumbuhan ekonomi Malaysia mengatasi republik itu.

“Bermula dari tahun 2012, pertumbuhan ekonomi kita lebih tinggi dari Singapura setiap tahun – iaitu untuk tujuh tahun berturut-turut.

“Pendek kata, ekonomi negara telah menjadi jauh lebih kuat di bawak kerajaan BN (Barisan Nasional) untuk 10 tahun dahulu ini dan bukan telah tersingkir dari gelaran “Harimau Asia” (kerana kita tidak pernah pun diberi gelaran ini) seperti ditipu oleh PH (Pakatan Harapan),” jelasnya.

Malah, pertumbuhan ekonomi negara di bawah BN untuk 10 tahun ini telah mengalahkan keempat-empat negara yang pernah digelarkan “Harimau Asia”.

Najib berkata, di sebalik semua propaganda PH, kebenarannya ialah kerajaan BN dahulu telah mewariskan kepada mereka sebuah ekonomi dalam keadaan yang baik dan bertambah baik sehingga PRU-14.

“Malangnya selepas PRU-14, ekonomi kita semakin menjunam.

“Unjuran ekonomi negara kita berulangkali diturunkan oleh Bank Dunia dan pakar-pakar ekonomi yang lain. Itulah kebenarannya,” katanya sambil menyindir dengan berkata  kagum gelaran “Harimau Asia” pun boleh disalahgunakan oleh kerajaan PH untuk menipu rakyat. – MalaysiaGazette