Home Dunia Parti Erdogan gagal kuasai Ankara, Istanbul

Parti Erdogan gagal kuasai Ankara, Istanbul

Tayyip Erdogan foto Agensi

ANKARA – Parti AK yang dikuasai oleh Presiden Tayyip Erdogan kalah di Ankara selepas gagal mendapat sokongan rakyat di ibu negara itu untuk pertama kali.

Malah, parti pembangkang turut menolak dakwaan bahawa parti AK telah menguasai Istanbul yang merupakan bandar terbesar Turki.

Erdogan yang telah menguasai politik Turki selama 16 tahun lalu dengan pentadbiran yang keras, berkempen selama dua bulan menjelang pilihan raya semalam.

Beliau menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai ‘kelangsungan hidup’ bagi Turki.

Namun, kempen hariannya dan sokongan liputan media besar-besaran gagal untuk membantunya menguasai ibu negara atau mendapat sokongan padu di Istanbul susulan kelembapan ekonomi yang mempengaruhi undi rakyat.

“”Rakyat telah memilih mendukung demokrasi, mereka telah memilih demokrasi,” kata Kemal Kilicdaroglu, yang merupalan pemimpin pembangkang dari parti CHP.

Beliau menang di Ankara, selain didakwa Reuters turut menguasai Istanbul dan kota Aegean Izmir – masing-masing bandar kedua dan ketiga terbesar di Turki.

Kekalahan parti Erdogan, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), di Ankara merupakan satu pukulan kepada presiden.

Kehilangan undi di Istanbul, tempat beliau memulai karier politiknya dan Datuk Bandar pada tahun 1990, menjadi kejutan besar.

Dengan 99.8 peratus kotak undi telah dikira di Ankara, calon CHP, Mansur Yavas telah memperoleh 50.9 peratus, membolehkan dia memperoleh 3.8 mata peratusan menerajui pesaingnya dari parti AK.

Agensi berita Anadolu berkata, parti AK boleh membuat rayuan di beberapa daerah ibu negara itu.

Di Istanbul, TV Turki menunjukkan bekas perdana Menteri, Binali Yildirim merekodkan kemenangan tipis ke atas pesaingnya Ekrem Imanoglu dengan 4,000 undi daripada 8 juta dengan 98.8 peratus kotak undi sudah dibuka.

Yildirim mengisytiharkan kemenangannya, namun dicabar oleh Imamoglu yang mengatakan data CHP menunjukkan undi yang diperoleh pencabarnya boleh disangkal.

Dalam ucapankepada para penyokong di Ankara, Erdogan kelihatan menerima kekalahan parti AK di Istanbul, walaupun beliau berpendapat kebanyakan kawasan kejiranan di kota itu masih dikuasai oleh partinya.

“Sekalipun terpaksa menyerah jawatan Datuk Bandar, (pengundi) mereka memberikan daerah kepada parti AK,” katanya.

Tambahnya, parti itu akan merayu keputusan sekiranya perlu. – MalaysiaGazette