Home Seni Hidup Priyanka, Nick Jonas bercerai?

Priyanka, Nick Jonas bercerai?

NEW YORK – Tidak sampai empat bulan, pasangan popular, Priyanka Chopra dan suaminya, Nick Jonas dikhabarkan dalam proses untuk bercerai kerana sudah tidak bersefahamaan lagi.

India Today melaporkan, pasangan tersebut dikatakan tidak ‘sebulu’ langsung dan sering kali bergaduh termasuk isu-isu remeh seperti makanan, pakaian, keluar berparti dan sebagainya.

Malah Priyanka, 36, yang jauh lebih tua 10 tahun berbanding Nick juga dikatakan panas baran serta suka mengawal suaminya dalam semua perkara.

Ini juga menyebabkan kedua-dua bergaduh dan bermasam muka sehingga membuat keputusan untuk bercerai namun campur tangan daripada keluarga terdekat dan kawan-kawan cuba meredakan keadaan.

Menurut sumber yang bercakap dengan Majalah OK!, kedua-dua pasangan artis terkenal ini juga seolah-olah meluahkan rasa menyesal kerana ‘terburu-buru’ berkahwin selepas hanya mengenali diri masing-masing dalam tempoh singkat sahaja.

“Mereka bergaduh tentang semua perkara. Nick dan Priyanka sebenarnya terburu-buru apabila mereka berkahwin dan mereka kini dalam keadaan tidak keruan.

“Sebelum ini Nick hanya nampak sifat isterinya yang lemah lembut dan penyayang tetapi kini semenjak berkahwin, baru nampak baran dan sikap suka mengawal itu.

“Bayangkan pakaian juga dikawal dan perlu dilakukan seperti kehendak Priyanka. Tentulah ini satu kejutan kerana sebelum ini tidak sedar.

“Ingat pada asalnya, Priyanka sangat matang dan memulakan hidup keluarga tetapi kini seperti dunia glamour dan parti jauh lebih penting,” jelas sumber itu.

Nick, 26, dan Priyanka, 36, berkahwin pada 1 Disember tahun lalu dengan mengikat tali pertunangan pada Julai hanya selepas dua bulan bercinta.

Mereka mengadakan upacara persandingan selama tiga hari di Istana Umaid Bhawan, Jodhpur dengan upacara gabungan tradisi Hindu dan Kristian.

Bagaimanapun beberapa jam selepas pelbagai pihak sibuk memperkatakan isu perceraian ini, akaun sosial Twitter Priyanka menunjukkan sebaliknya dengan memuat naik gambar bersama selepas persembahan muzik Jonas Brothers.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi tentang perkara ini daripada Priyanka mahupun Nick sehingga menyebabkan ada juga was-was tentang gosip liar tersebut. –MalaysiaGazette