PRK RANTAU – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menguasai perang poster di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Masuk hari ketiga kempen, sepanjang jalan ke Pekan Rantau rata-ratanya dipenuhi dengan muka Mohamad atau lebih sinonim dengan panggilan Tok Mat.
Dari gegantung kecil sehinggalah papan iklan semuanya dikuasai oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.
Menurut Mohamad, beliau melakukan kitar semula barangan kempen yang telah diperuntukkan kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei lalu.
“Tidak banyak belanja pun sebab barang lama masa kempen PRU14 tidak terpakai.
“Sebenarnya saya guna balik barang kempen masa PRU14 hari tu. Sebab tak sempat guna, semua yang tersimpan jadi saya pakailah balik,” katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan Utama (BGU) BN, hari ini.
Pada PRU14 lalu, Mohamad menang tanpa bertanding apabila Dr Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR.
Bagaimanapun, kempen bagi calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram dilihat hambar kerana tidak memaparkan langsung wajah pakar bius itu.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati Dr Streram tidak dipaparkan di mana papan iklan dan hanya beberapa gegantung di Pekan Rantau.
Gegantung yang memaparkan tulisan ‘Doktor Seri, Doktor Rakyat’ mula dipasang di sekitar Jalan Pekan Rantau.
Semalam, Dr Streram berkata beliau menyedari hakikat itu dan menjelaskan jentera Pakatan Harapan (PH) yang ditugaskan sedang berusaha ke arah itu.
“Mereka semua sedar dan sedang menguruskannya ke arah itu.
“Saya perasaan poster wajah saya tak banyak berbanding Tok Mat.
“Mungkin hari-hari akan datang akan ada banyak poster yang mempamerkan wajah saya nanti dan saya tak bimbang dengan perang poster sekarang.
“Kita akan melaksanakan apa yang perlu untuk PRK kali ini,” katanya semalam. -MalaysiaGazette