Home Ekonomi Asnaf Prenuer bimbing asnaf jadi usahawan

Asnaf Prenuer bimbing asnaf jadi usahawan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (tengah) menyaksikan pertukaran Dokumen Kerjasama di antara Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Noor Azmi Mat Said (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Program Tunas Usahawan Baitulmal di Dewan Mahkota, SME Corp. Malaysia, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sepanjang tahun akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu golongan asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, sebagai projek perintis, MAIWP dengan kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp) memilih 100 asnaf untuk menyertai program keusahawanan.

Katanya, menerusi program itu, para asnaf berkenaan yang dipanggil Asnaf Prenuer akan dibimbing oleh SME Corp dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Matlamat kita ialah membela golongan B40 dengan memberi mereka modal untuk berniaga dalam pelbagai bidang di bawah bimbingan pegawai SME Corp.

“Sesetengah pihak memahami bahawa kutipan zakat itu adalah membantu. Kemudian mereka berhenti di situ tetapi apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, kita kembangkan kutipan zakat itu dengan melibatkan golongan asnaf menerusi program keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Tunas Usahawan Baitulmal di Dewan Mahkota, SME Corp di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral)  hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md. Ramli, dan Pengerusi MAIWP yang juga Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

Menurut Mujahid, seramai 100 peserta yang diambil untuk program itu melibat dari lapan negeri, bukan terhad kawasan Wilayah Persekutuan sahaja.

Ditanya program yang dianjurkan selain Asnaf Prenuer, beliau berkata, banyak lagi aktiviti telah disusun bagi memantapkan serta mempelbagaikan kaedahagihan zakat agar sampai kepada golongan sasar iaitu asnaf.

“Kemampuan MAIWP untuk melaksanakan pelbagai bentuk bantuan ini adalah hasil daripada komiten pembayar zakat khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Alhamdulillah, jumlah kutipan zakat di Wilayah Persekutuan tahun lalu merekodkan sebayak RM651 juta.

“Zakat ini diagihkan oleh MAIWP secara langsung menerusi 28 skim bantuan melibatkan aspek keperluan asasi, pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan dakwah,” katanya.

Antara bantuan itu adalah Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM200 hingga RM700 sebulan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf yang dimasukkan ke akaun bank masing-masing. – MalaysiaGazette