RANTAU – Reaksi beberapa pengundi Rantau yang mendakwa tidak mengenali calon Pakatan Harapan (PH) bukan satu masalah besar bagi Dr S. Streram.
Katanya, beliau tidak boleh menyalahkan masyarakat setempat yang tidak mengenali beliau.
“Saya tidak perlu bimbang dengan reaksi masyarakat serta pengundi yang kata tidak kenal saya.. sebab mungkin mereka tidak ada semasa saya turun padang bertemu mereka atau sudah keluar bekerja atau berniaga.
“Lagipun ia bukan masalah besar bagi saya kerana saya rasa mereka sudah tahu sebenarnya calon mana mereka mahu memberi peluang untuk mewakili mereka kali ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau itu berkata, kebanyakan penduduk di Taman Ekar khususnya terkejut melihat beliau turun padang bertemu dari rumah ke rumah semasa walkabout di pekan Rantau.
Lantaran itu, katanya, reaksi penduduk yang tidak mengenalinya di luar pengetahuan memandangkan beliau sudah berkhidmat dalam masyarakat setempat sejak tiga setengah tahun yang lalu.
Malah, beliau mendakwa, dia dikenali oleh pelbagai kaum.
Ditanya apakah kempen 12 hari lagi suatu tempoh yang mencukupi untuk mengundi mengenalinya, Dr Streram berkata: “Ya..ya.. saya turun padang ke lapangan secara berterusan bertemu masyarakat tempatan dan mendekatkan diri saya kepada penduduk di sini.
“Misalnya ada 50 pengundi dari sebuah kampung yang tidak tahu lokasi kedudukannya tapi kebetulan saya jumpa dan bertegur sapa di kedai kopi.
“Mereka siap menjemput saya datang ke kampung mereka yang terletak di kawasan pedalaman.
“Ini bukti sejauh mana saya sebagai calon dikenali pengundi di sini,” katanya sambil menambah beliau mengambil positif reaksi pengundi yang tidak tahu mengenainya dan akan didekati kelak untuk memperkenalkan dirinya. – MalaysiaGazette