KUALA LUMPUR – Bukti yang ingin ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary bersabit dakwaan nasib kontraktor bumiputera tidak berasas kerana hanya berdasarkan pesanan ringkas Whatsapp.
Justeru, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak memberi laluan kepada Ahmad Marzuki untuk mendedahkan buktinya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, wakil rakyat Pas itu menyalahgunakan peluang untuk membuat ucapan.
“Saya dah cakap jumpa saya kemudian tunjuk bukti di sini mana saya boleh lihat dia hanya baca dari Whatsapp tak berasas tapi nampaknya dia takut nak tunjuk bukti (kepada saya sendiri).
“Tapi dia tidak mahu endah nak ambil kesempatan untuk buat ucapan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu, ahli parlimen pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas meninggalkan sidang Dewan Rakyat apabila tidak berpuas hati bermula daripada isu nasib kontraktor bumiputera.
Tindakan itu dibuat selepas Ahmad Marzuk yang mahu membangkitkan perkara tersebut dihalau keluar oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon kerana menggunakan perkataan ‘pondan’ terhadap Guan Eng dan enggan menarik perkataan tersebut.
Keadaan itu berlaku semasa Menteri Kewangan itu menjawab perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019.
Mengulas lanjut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pembangkang sengaja menggunakan isu kontraktor bumiputera dengan niat menimbulkan kebencian terhadap Pakatan Harapan termasuk menyerangnya.
“Kita telah tegaskan berkali-kali tapi telah dimain-mainkan oleh pihak pembangkang dengan menggunakan sentimen dan emosi untuk menimbulkan kebencian ke atas kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya ke atas saya kerana saya adalah satu sasaran mudah,” ujarnya.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan PH melaksanakan tender terbuka lebih praktikal untuk membuka peluang kepada mana-mana syarikat yang layak dan mampu.
“Tapi secara amnya tender terbuka terpakai bukan macam sistem lama kena dapatkan tanda tangan Ketua Bahagian atau hanya menerusi rundingan terus ini kerajaan nak jauhkan rancangan tidak sihat ini,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama Guan Eng memaklumkan akan mendedahkan surat tawaran jualan bangunan Malaysia di Hong Kong pada sidang Dewan Rakyat esok.
Tindakan itu, katanya, untuk membuktikan pelaksanaan tender terbuka demi memastikan kerajaan mendapat nilai terbaik.
“Itu sebab penjualan bangunan Hong Kong kita tidak rundingan terus kerana ia hanya bagi orang tertentu kita buat secara tender terbuka apa salahnya?
“Ini penjualan kita nak dapat harga yang paling baik sesiapa nak bayarlah harga tinggi saya akan tunjuk surat (tawaran membeli) esok di mana ada pihak menunjukkan minat dengan harga RM1.6 bilion,” jelas Guan Eng. -MalaysiaGazette